fbpx Skip to main content
search
0

Nama saya Hanida binti Abdull Samat sedang berada di semester ke 10 pengajian peringkat PhD. Asalnya saya mendaftar di  Program Pendidikan Islam  Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Syukur alhamdulillah yang memberikan saya hidayah dan taufiq-Nya untuk terus berada di atas jalan para penuntut ilmu Allah SWT walaupun terpaksa lalui pelbagai badai yang menghempas.

Saya mula berniat untuk melanjutkan pengajian peringkat PhD pada tahun 2012. Saya telah memohon PhD UM dan ditawarkan menyambung pelajaran di Jabatan Al-Quran & al-Hadith UM pada tahun yang sama namun saya menolak kerana tidak yakin dengan kemampuan diri. Hasrat untuk menyambung PhD saya hidupkan kembali pada tahun 2015 dan saya telah mendaftar pada bulan September 2015 Program Pendidikan Islam  Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya secara self sponsored.

Pada masa yang sama juga anak saya melanjutkan pelajaran ke Jordan dan saya berjanji dengan anak umi akan tamat belajar sama dengan dia. Saya dapat impikann perjalanan PhD saya akan lancar dan indah kerana anak-anak semua sudah besar dan saya sudah ada kerjaya yang stabil.

Dalam masa yang sama saya terus berusaha mendapatkan tajaan HLP ataupun Cuti Belajar Bergaji Penuh daripada KPM. Saya dipanggil temuduga dua kali namun tiada rezeki saya. Sepanjang dua semester saya ikuti Kelas Reseach Methodology. Bila masuk semester ketiga keadaan saya masih belum stabil dengan tajuk kajian yang masih di awan.

Saya mendapat SV Pendidikan Islam dan co SV di Jabatan Aqidah kerana tajuk awal saya ada kaitan dengan adab dan nilai. Selama tiga semester saya berlegar dan berlari setempat tanpa Proposal Defend sebelum semester ketiga ( syarat UM mesti PD selewat-lewatnya semester ketiga).

Pada tahun 2016 juga saya berdoa bersungguh-sungguh untuk saya menjadi dhuyufurrahman walaupun saya belum cukup kemampuan dan belum daftar haji. Qadrullah fawqa ma yasha’ saya mendapat visa khas kedutaan untuk menunaikan haji bersama suami melalui muassasah Tabung Haji (TH).

Dipendekkan cerita saya sibuk dengan kursus haji sejak awal April sehinggalah awal September 2016 saya benar-benar mendapat jemputan al-Rahman menjadi tetamuNya. Benarlah haji itu satu jemputan yang Maha Agung. Kisah haji ini akan saya kongsi pada masa yang lain. Di tanah suci dan di ribaan kaabah dan di semua tempat mustajab doa saya berdoa agar Allah SWT permudahkan perjalanan PhD saya.

Sekembalinya saya daripada menunaikan ibadat haji saya telah diajak oleh rakan kelas method saya untuk sertai program pertama Dr. Roket. Saya antara yang hadir bersama Dr. Siti Sarah yang baru lepas pantang. Saya bawa balik ARMP namun saya tidak tahu bagaimana untuk kekalkan momentum saya.

Seperkara lagi sekembalinya saya dari tanah suci saya mendapat berita yang amat mengejutkan di mana SV saya akan berpindah tempat kerja dan tidak dapat menyelia saya lagi. Saya mula merisik SV baru di Jabatan al-Quran dan alhamdulillah saya diketemukan dengan SV baru yang amat berpengalaman. Pada awal tahun 2017 saya menerima surat daripada JQH meminta saya membuat PD pada bulan Februari 2017. Tanpa banyak persediaan saya masuk PD dan pasrah dengan pembentangan pertama.

Ternyata saya gagal pada PD yang pertama dan diminta Redefend dengan tajuk lain. Saya diberikan tempoh seminggu untuk membuat proposal baru dan membuat LR seadanya. Seminggu kemudian saya PD kali kedua dan banyak juga pertanyaan yang dikemukan. Alhamdulillah saya lulus PD kali kedua dengan pindaan tajuk. Syukur saya selesai PD.

Semenjak selesai PD saya terasa amat penat dengan kerja keras seminggu untuk redefend. Saya rehat serehat-rehatnya. Saya terus mengumpul data, berkampung di perpustakaan UM dan di thesis collection room menelaah isu berkaitan tajuk baru. Saya menghantar Progress Report setiap semester tanpa gagal. Saya jua orangnya yang hanya akan hubungi SV saya untuk urusan dapatkan tandatangan dan maklumkan pendaftaran semester baru.

Sehinggalah pada 17/7/2018 itu tarikh terakhir saya tengok tesis saya. Tidak terduga saya telah diuji dengan ujian kehidupan yang amat dahsyat tidak pernah saya duga sehingga saya nekad untuk berhenti daripada pengajian PhD saya. Masih saya ingat tiga kali saya bertemu SV saya merayu dan memohon untuk berhenti daripada PhD. Namun SV saya yang amat bijak dan sentiasa bersangka baik dengan saya hanya menasihatkan saya agar menangguhkan pengajian dan meminta saya tenangkan fikiran dan fokus kepada kesihatan.

Pada awal tahun 2019 saya diuji dengan ujian kesihatan yang amat kritikal. Sekali lagi saya nekad berjumpa SV mewiridkan kepadanya hajat saya untuk berhenti PhD. Saya telah kuburkan niat saya untuk meneruskan PhD dan melupakan semua hal berkaitan tesis saya. Sejak awal tahun 2019 saya mengalami simptom kemurungan dengan saya mengurungkan diri saya di dalam rumah.

Saya tidak mahu pergi kerja, tidak mahu berjumpa dengan orang lain, tidak kisah dengan suami dan anak-anak. Saya hilang diri saya yang dulu, saya menjadi manusia paling negatif, menyesali dosa lalu, hilang keyakinan diri. Saya diberikan cuti MC setiap dua minggu temu janji doktor.

Menjelang bulan April 2019 keadaan kesihatan saya semakin merosot menyebabkan pada temujanji berikutnya saya dipaksa untuk admit ke wad psikiatri. Saya telah disahkan sebagai pesakit Major Depressive Disorder ( MDD )  with psychosis. Di wad saya jalani rawatan, ubatan, psikoterapi namun semua itu tidak memberi kesan yang baik kepada kesihatan saya. Akhirnya pakar tiada pilihan lain melainkan membuat rawatan ECT kepada saya.

Di wad saya lalui ECT dua hari sekali sehingga hari saya discaj saya telah lalui 15 kali rawatan ECT. Saya discaj pada 24/5/2019 selepas 37 hari berada di wad. Saya masih ada temu janji doktor dua hari sekali dan meneruskan ubatan, ECT dan psikoterapi dan meneruskan cuti sakit sehingga awal bulan Julai 2019.

Pada 7/7/2019 saya mula masuk kerja. Dalam keadaan otak yang baru dan masih fragile saya gagahkan diri masuk mengajar. Hari demi hari kondisi saya makin baik. Syukur ya Allah aku dapat balik diri aku yang dulu. Sebulan selepas naik sekolah saya telah dihadapkan ke medical board tentang kemungkinan saya dibersarakan awak atas alasan kesihatan mental. Saya merayu kepada majikan saya untuk menyokong saya terus berkhidmat.

Hasilnya panel Medical Board telah sepakat dan menyokong saya untuk terus berkhidmat dan tidak akan dibersarakan awal. Sekali lagi kesyukuran selayaknya saya kembalikan kepada yang Maha Baik kerana masih mengizinkan saya hidup buat kali kedua. Juga jutaan terima kasih buat majikan saya yang sangat supportif dan berhati mulia.

Saya habiskan tahun 2019 dengan cabaran sakit invisible illness dan penangguhan semester atas alasan medical. Pada awal tahun 2020 saya dikehendaki mendaftar untuk semester baru. Dengan ujian berat yang saya lalui sepanjang tahun 2019 saya tiada lagi kekuatan untuk meneruskan PhD saya. Saya telah kuburkan tesis dan hajat saya untuk PhD, saya tidak yakin untuk teruskan.

Sekali lagi saya bertemu SV menyatakan saya nekad untuk berhenti PhD kali ini. Seperti sebelum ini SV saya berjiwa guru sejati meminta saya untuk meneruskan pengajian. Saya akur dengan kehendak beliau dan saya daftar semester dua Februari 2020.

Pada 18/3/2020 negara diuji dengan Covid-19 dan PKP. Tempoh masa PKP saya dengan bahagianya gunakan masa tersebut untuk membuat perkara yang saya suka tanpa saya buka tesis saya. Pada saya  saya hanya daftar sekadar daftar untuk menjaga hati SV dan hanya menunggu hari-hari terakhir saya ditamatkan pencalonan daripada UM. Sepanjang PKP juga saya ligat dengan memasak, berniaga online, berkebun dan deco rumah.

Saya dapat rasakan satu kepuasan bila dapat buat semua perkara tersebut. Saya telah lupakan tesis saya selamanya dan telah buang semua bahan printed berkaitan kajian saya dan tidak nampak jalan untuk selesai. Namun jauh di sudut hati saya ada rasa unfinished biz dengan tesis saya. Saya tidak layan semua itu dan saya buat hal saya kerana pakar yang merawat saya berpesan Puan buat sahaja apa yang boleh buat Puan Bahagia.

Apabila tamat PKP pada hujung Jun 2020, saya masuk kerja dan menjalankan rutin harian saya, pergi kerja, balik kerja, tanpa saya rasa gusar dan berdosa dengan kesihatan tesis saya. Pada saya tiada lagi PhD untuk saya. Biarkan anak-anak saya sahaja yang akan teruskan hajat PhD saya. Rakan sekerja juga tidak banyak yang menyokong. Pada mereka PhD lah yang buatkan saya sakit, sedangkan ingin saya tegaskan PhD tiada salahnya pada saya.

Sehingggalah pada bulan Ogos 2020 saya menerima mesej whatsapp daripada tim Dr. Roket yang membuat promosi NUT. Saya rasa macam menarik. Saya pun daftar NUT dan sertai pada 30-31 Ogos 2020. Bila saya renung balik asbab saya join NUT adalah atas ajakan teman syurga saya yang sudah sama-sama karam iaitu Ustzah Umi juga dengan doa tanpa pengetahuan saya daripada adinda kelas Research Methodology saya dulu Sis Hafizah.

Bila saya nyatakan padanya saya nak join Dr. Roket, dia katakan pada saya dia tidak putus doakan saya agar teruskan PhD dan dia nak sangat saya akan konvo bersamanya tahun depan. Ya Allah saya sangat terharu terhutang budi kerana dalam keperitan yang saya lalui masih ada insan berhati mulia yang mendoakan saya tanpa pengetahuan saya. Inilah yang dikatakan The Power of Du’a.

Semasa NUT, Saya dengar semua pengisian NUT dari pagi hingga Asar. Menjelang Asar saya dikejutkan dengan berita kematian. Saya bergegas ke Perak sehingga keesokan harinya selepas Zohor baru saya dapat sertai NUT balik. Saya sertai semula NUT hari kedua selepas jam 2 petang hingga ke malam.

Saya sangat  teruja dengan result para hot seat platinum. Dan saya rasakan inilah masanya untuk saya semai balik cinta tesis saya yang telah meninggal lalu saya kuburkan. Saya kumpul balik kekuatan, saya pegang semua taujihat Dr. Roket semasa NUT dan juga perkongsian para Platinum Dr. Roket. Selepas berbincang dengan suami saya mohon restu suami untuk saya sertai Platinum X Dr. Roket dengan satu niat dan keazaman nak siapkan tesis. Saat itu baru saya tersedar saya hanya tingga dua semester sahaja lagi untuk saya tamatkan PhD saya. Menjelang September 2021 saya wajib ijbari menghantar tesis saya ke UM. Tawaran platinum sangat menarik dan saya nekad untuk  berikan komitmen untuk menghasilkan result terbaik.

Perkara lain yang sangat saya hargai selepas NUT ialah kewujudan kumpulan telegram Potential Platinum 5.2. Saya mula dapat rasakan saya tidak lagi kesunyian dan terkapai-kapai lalui jalan jihad ilmu ini. Bermacam-macam perkongsian info saya perolehi daripada kumpulan yang bertuah ini.

Pantang tinggal satu jam beratus mesej akan masuk. Paling terasa keberkatan berukhuwah, kebersamaan, doa yang mustajab, tiada lagi segan untuk bertanya dan berkongsi info bersama sahabat syurga saya. Paling memberi kesan adalah kelab 401, saya dapat rasakan bila Dr. Roket minta kita tidur awal dan bangun awal serta haramkan stay up,  saya benar-benar rasakan segalanya milik Allah, kita pulangkan kepada Allah dan berdoa setulus hati untuk diri sendri dan juga untuk semua para sahabat agar Allah kurniakan ketenangan, kebijaksanaan, kebahagiaan, keyakinan diri.

Matlamat akhirnya kita berukhuwah kerana Allah dalam usaha menyiapkan PhD untuk Ummah dan sering mendoakan agar dapat konvo bersama, dapat masuk syurga berjamaah. Sahabat till Jannah. Sangat manis.

Bila telah mendaftar Platinum rupanya ada ujian yang perlu ditempuh, saya katakan saya mampu sempurnakan semua tugasan kecuali satu sahaja tugasan yang amat mencabar minda dan hati saya. Tugasan untuk menghubungi SV dan skrin shot mesej semasa PKP, satu yang amat payah. Saya gali balik mesej saya kepada SV sebelum PKP. Yang ada hanyalah mesej saya maklumkan kesihatan saya, saya telah daftar semester baru dan ucapan selamat hari raya.

Bila ada tugasan minta saya hubungi SV saya mula mengatur ayat paling sopan yang saya rasakan, dimulai dengan permohonan maaf yang amat sangat kerana saya tidak mampu menjadi  pelajar yang baik kepada SV. Saya zahirkan penyesalan saya dan mohon bimbingan SV. SV saya membalas ringkas sahaja, katanya syukur saya sudah sihat dan minta saya teruskan perjuangan, akan ada sinar selepas ini ujarnya. Saya membalas lagi dengan ucapan terima kasih dan sangka baik SV terhadap saya.

SV menjawab kitakan sama-sama guru, kita pasti nak lihat anak didik kita berjaya. Allahu Akbar saya tersentap dengan mesej SV saya. Berbunga hati saya sebab dapat jawapan balas mesej SV, ada juga modal saya nak pos ke FB NUT sebagai bukti.

Tidak lama selepas bermesej dengan SV saya terima panggilan daripada SV, MasyaAllah saya sangat berdebar bila SV hubungi. Dalam hati saya berbisik: parah aku kali ni mesti SV nak tanya pasal tesis. Apa lagi yang  saya nak jawab. Ternyata sangkaan saya meleset.

SV saya tidak sebut pun pasal tesis, dia hanya bertanya keadaan kesihatan saya dan beliau sangat bersyukur saya telah kembali sihat. Kata SV “yang penting anti dah betul-betul sihat.”  Sikap ramah dan sangka baik SV pada saya buatkan saya tidak segan bertanya balik: “Kenapa Ustaz tidak terima dan sokong saja saya nak berhenti PhD sebelum ini? Saya dah buat macam-macam supaya Ustaz tidak sukakan saya,” Mudah saja jawab guru saya yang mursyid ini. Katanya : “ana dah temui bermacam jenis ragam pelajar PhD bawah seliaan ana.

Masalah anti pada ana tidak besar mana dan anti boleh atasinya” Allahu lagi sekali saya terpalu dengan jawapan berhati mulia SV saya ini. Sungguh besar jiwanya dan sentiasa mahukan kejayaan buat anak didiknya walaupun saya sendiri tahu di tahap mana saya berada sekarang. Dengan kebaikan hati dan keluhuran budi SV saya ini saya berazam untuk hadiahkan kepada PhD saya dalam masa terdekat, biiznillah.

Berkenaan dengan kesihatan saya, pada temu janji doktor yang terakhir 23/9/2020 yang lalu saya semakin positif dan pakar yang merawat saya telah mengurangkan dos pengambilan ubat saya. Tambah mengujakan saya, saya antara pesakit yang sembuh yang akan menjadi sebahagian daripada kejayaan hospital dalam rawatan.

Masih saya ingat semasa panel Medical Board hendak mengumumkan keputusan, Ketua Panel mengucapkan berbanyak syukur dengan katanya satu keajaiban saya dapat sembuh seperti sekarang. Ini kerana melihatkan rekod perubatan saya ia sangat kritikal dan saya sendiri tidak nampak jalan saya boleh sihat.

Namun akhirnya saya insaf, saya tidak kuat sebenarnya, hanya berkat doa dan solat  hajat orang keliling saya berikan saya kekuatan untuk saya bingkas bangkit segera daripada episod kemurungan yang menekan jiwa. Ia turut menjejaskan kesihatan fizikal saya di mana saya tidak lalu makan dan hanya minum air selama hampir empat bulan. Berat badan saya turun mendadak. Benarlah kesakitan mental akan membawa kepada kesakitan fizikal , spiritual, emosi dan merubah gaya hidup kita 360 darjah.

Saat itu juga timbul rasa berdosa kerana saya tidak sempurnakan PhD saya sebelum ini. Telah banyak masa, tenaga dan harta yang dibelanjakan di jalan PhD ini. Seusai NUT merdeka saya mula membina mindset baru dan cuba menjadi new me setiap hari.

Saya kebumikan semua pemikiran negatif saya. Kini saya berusaha membetulkan mindset saya dengan membuat tindakan-tindakan biasa bagi menghasilkan result. Saya amat berterima kasih kepada Dr. Roket kerana menyelamatkan saya daripada terus karam tenggelam dalam kegelapan PhD.

Saya beramal dengan semua tips Dr. Roket dan saya dapat rasakan kemanisan dalam menuntut ilmu. Terima kasih Dr. Roket kerana telah membantu saya untuk saya merdekakan diri dan tesis saya.membawa saya kembali kepada basic menjadi hamba Allah yang pandai bersyukur dan bersabar serta menurut ajaran Rasul tercinta.  Hanya Allah yang dapat membalasnya.

Bila saya tanya diri sendiri apakah BIG WHY saya untuk sertai Platinum? Antara big why saya ialah saya merasa amat berdosa kepada semua orang jika tidak menyempurnakan amanah ilmu ini.

Pada awal semester dulu saya mendapat sumbangan zakat untuk bayar yuran PhD, terbit rasa takut salah gunakan duit zakat jika tidak berjaya tamatkan PhD, terimbau balik hajat almarhum abah saya yang mahu anaknya menuntut ilmu ke peringkat yang tertinggi, dan big why terbesar saya adalah saya baru tersentap pada tahun hadapan ibu saya akan masuk ke umur tujuh puluh tahun, saya nak hadiahkan kejayaan saya buat ibu saya dan membawa ibu saya ke majlis konvo saya nanti.

Oleh itu saya perlu mengejar masa kerana masa tidak akan menunggu kita. Jika ditanya berapa lama saya mahu siapkan tesis saya, saya rasa esok sahaja saya nak hantar tesis kerana saya ingin segera keluar daripada  dunia PhD ini. Saya ada banyak lagi kerja lain yang perlu saya sempurnakan.

Dr. Roket juga ada menganjurkan cabaran 7 hari tanpa keluhan. Dalam fatrah ini jua dugaan datang menyapa diri. Sejak 8/10/2020 semasa interview beramai-ramai suami saya masuk hospital. Saya pasrah dan panjatkan syukur kerana penyakitnya dapat dikesan awal dan saya berharap tim pakar yang merawatnya akan buat yang terbaik.

Saya pesan kepada suami andai ada rasa sakit saat dibuat prosedur nephrostomy dan berikutnya prosedur memasang stent, ayah banyakkanlah istighfar mohon agar Allah angkat sakit dan sucikan diri dari dosa, moga kita redha disucikan dosa di dunia ini daripada diazab di negeri abadi lantaran kita sudah tidak mampu untuk kembali ke dunia lagi. Dunia ini tempat kita diuji, nahtasib agar segala ujian dan kesakitan ini menjadi penghapus dosa kita.

Dalam banyak hal Dr. Roket mengajar saya agar mengutamakan restu suami dalam perjalanan saya ini. Saya dapatkan sokongan 100% suami tercinta untuk saya komited dengan program Dr. Roket dengan niat saya mesti selesaikan apa yang telah saya mulakan.

Ia menjadi amanah ilmu dan saya mohon bantuan Allah agar permudahkan saya kali ini. Alhamdulillah sujud syukur sangat kerana suami amat memahami dan memberikan restu saya sertai Platinum X Dr. Roket.

Buat Dr. Roket maafkan saya kerana menghilangkan diri daripada Dr sejak saya join Dr. Roket dalam program yang pertama sekembalinya saya dari Tanah Suci 2016.

Saya umpama Zul Jawshan al-Dibab yang merasa kesal kerana dia antara insan yang lambat menyahut seruan baginda dengan alasan “Aku nak tengok dulu.” Kini saya kembali berguru dengan Dr, saya rela sekalipun Dr perlu merotan saya, janji saya boleh selesaikan tesis saya dalam masa terdekat biiznillah.

Terima kasih Dr. Roket ajar saya erti kebersamaan kerana ahli syurga mereka  tidak mahu masuk syurga berseorangan mereka masuk secara zumaro, doa untuk semua orang, sentiasa memberi, sangka baik, positif, ambil berat kesihatan diri, ketangkasan akal dalam berfikir, saya amalkan semua yang Dr ajar kerana semua itu bersumberkan pimpinan al-Rasul juga. Semua bidang ada sandaran dalil dan hujjah daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Terima kasih bawa saya kembali kepada Khaliq saya, bertawajuh dan bermunajat, mengadu dan hanya bergantung kepada Dia Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Saya sangat hargai semua jasa baik Dr. Roket. Teruslah memberi dan membantu buat kami pencinta ilmu. Kami akan setia bersama Doktor.

Saya hargai semua pengorbanan Dr. Roket, moga Allah berkatinya. Doakan saya agar berjaya sampai ke pulau destinasi pengajian PhD saya, dapat grad pada tahun 2021 bersama semua rakan Platinum saya, seterusnya dapat memberi sumbangan yang amat besar buat Islam dan umatnya… biiznillah.

Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x