Ilmu dan pengetahuan amat penting didalam kehidupan kita sebagai khalifah. Ilmulah yang menerangi kegelapan hati dan kejumudan fikiran selama ini, membentangi jalan yang lurus didepan mata terutama bagi mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala.
Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala mafhumnya: “Allah Ta’ala menerangkan kepada sekalian makhluknya dengan dalil dan bukti bahawa tiada Tuhan berhak disembah melainkan Dia, yang mentadbir seluruh alam dengan keadilan, demikian juga para malaikat serta orang-orang yang berilmu berikrar dan mengakui juga bahawa tiada Tuhan melainkan Dia yang Maha Perkasa lagi Bijaksana”.
Kita sedia maklum, menuntut ilmu merupakan satu jihad kita sebagai hamba-Nya. Ilmu itu adalah cahaya nan suci, yang sukar menembusi hati yang alpa dan gelap. Kita perlukan semangat dan perjuangan yang tinggi menempuhi jalan jihad ini, buat ganjaran tertinggi;
Rasulullah SAW bersabda; “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan maka Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan untuk ke syurga.” (Riwayat Imam Al- Bukhari).
Bagi mengumpulkan kekuatan anda sebagai pejuang di dalam medan ilmu-Nya yang teramat luas ini, kami kongsikan 6 tiang kekuatan buat anda yang bergelar pelajar:
- Doa tanpa henti
Mohonlah kepada-Nya dan sampaikanlah hajat dan permintaan dengan bersungguh-sungguh dan penuh beradab. Doa adalah senjata orang Mu’min, persiapkanlah diri kita untuk berjuang menuntut ilmu dengan memohon kelapangan hati, kejernihan fikiran melalui petunjuk-Nya.
- Emosi Stabil
Manusia telah terpilih sebagai Khalifah di muka bumi ini kerana kesempurnaan dan keistimewaan berbanding makhluk yang lain. Antaranya kebolehan mengeksperisi emosi yang pelbagai, namun utamakanlah kewarasan akal dalam menuntut ilmu agar tidak tertekan.
- Minda kuat
Minda juga perlukan senaman dan latihan supaya menjadi kuat. Antara kaedahnya dengan perbanyakkan mengaji Al- Auran, mengamalkan makanan minda seperti kismis, madu dan badam disamping perbanyakkan membaca dan berfikir hikmah di sebalik ciptaan-Nya.
- Bina persekitaran
Pastikan kita memilih suasana yang tenang, bersih dan damai semasa menuntut ilmu. Sudah pasti bukan perkara yang mudah kerana halangan persekitaran yang datang tanpa diduga. Usahakan membina ‘work station’ sendiri atau pergilah ke perpustakaan agar lebih fokus.
- Pasangan
Pastikan pasangan kita faham niat kita untuk menuntut ilmu, dan berterus teranglah tentang rutin belajar dan jadual kelas anda. Dengan sokongan dan doa mereka, pastinya pengajian anda lebih lancar dan berkat. Lebih afdhal jika bersama-sama berjuang menuntut ilmu.
- Ibadah
Utamakan hak kepada tuhan pemilik ilmu, insyaallah urusan duniawi anda akan dipermudahkan oleh-Nya. Luangkan waktu mengaji dan bertadabur Al-Quran, berpuasa Sunnah dan mendengar tazkirah, kerana semakin kita belajar semakin kita mengenali Allah.
- Ilmu mengurus pengajian
Tidak susah untuk mendaftar pengajian, tetapi tidak mudah menguruskannya hingga tamat dengan cemerlang. Pelbagai subjek dan tugasan yang membebani pelajar, namun sebenarnya ianya tidak sukar sekiranya kita faham kaedah yang berkesan untuk mengurus pengajian.
Tujuh tips yang kami kongsikan sedikit sebanyak membina kekuatan diri anda daripada dalam untuk berjuang menuntut ilmu. Tekadkan niat, pelihara hak-hak Allah Ta’ala dan sesama insan, anda pasti berasa mudah mempelajari ilmu-Nya. Ingatlah, Allah Ta’ala mengangkat darjat mereka yang berilmu, gapai anugerah ini melalui tips yang kami kongsikan ini!