Tahun 2020 membuka tirai dengan peristiwa yang tidak terjangka oleh kita semua. ‘Stay at home’ atau Kekal di rumah telah menjadi norma baru kehidupan bukan sahaja rakyat Malaysia, malah masyarakat di seluruh dunia. Wabak Corona Virus atau nama saintifiknya Covid- 19 telah mengancam kebebasan kita semua secara zahirnya.
Bukit sama didaki, lurah sama dituruni.
Pada saat yang mencabar ini, kita semua tidak terlepas memainkan peranan yang penting untuk mencegah Covid-19.
Jika sebelum ini kita berpeluang menikmati pelbagai kurniaan dan keselesaan bersama-sama di bawah satu langit, kali ini ayuh kita berganding bahu mengharungi dugaan ini hingga berjaya. Musuh ghaib ini perlu kita nyahkan segera!
Tiap perkara yang terjadi ada hikmah tersembunyi.
Seperti firman Allah Ta’ala didalam surah Al-Insyirah ayat 5-6: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”
Sedarkah kita, norma baru yang kian kita praktikkan sebenarnya membawa kita kembali kepada fitrah. Amalan kebersihan yang merupakan tunjang sebahagian daripada iman kembali kita tekankan dengan lebih berat.
Masyarakat mula mengamalkan etika kebersihan diri yang lebih ketat dan mengutamakan kesucian daripada segenap aspek luar dan dalam.
Jika di Malaysia masyarakatnya telah melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) sehingga kini, yang memberi ruang kepada alam untuk ‘bernafas’ semula.
Jika sebelum perintah kawalan kita semua terkejar-kejar akan kekayaan duniawi tanpa menghiraukan kelestarian alam, kini tiada lagi pencemaran dan kerosakkan oleh tangan-tangan manusia.
Kita semakin sedar pentingnya mengamalkan gaya hidup seimbang yang berlandaskan Sunnah Nabi SAW. Nabi Muhammad SAW telah bertindak sebagai ikon terbaik buat umat manusia sepanjang zaman, namun kita semakin melupakannya dek kerana anasir barat yang merosakkan.
Hikmah Covid-19, kita bertambah jelas keberkesanan Sunnah Nabi SAW jika kita amati dan amalkan semula dengan kesungguhan.
Begitu juga dengan nilai kekeluargaan dan persaudaraan yang semakin erat kerana ‘kita jaga kita’. Bagi memastikan orang yang tersayang selamat daripada wabak ini, anak- anak kerap bertanya khabar ibubapa dan saling berhubung secara alam maya bagi melepaskan kerinduan.
Jiran tetangga disekeliling mula cakna akan keberadaan dan perkhabaran masing-masing.
Wabak ini bukan sahaja mengancam nyawa manusia, malah akibatnya lebih daripada itu. Ekonomi negara semakin merudum, pendidikan anak-anak tergendala dan aktiviti harian tergugat.
Rakyat sesebuah negara pada ketika ini begitu bergantung harap kepada kebijaksanaan pemimpin untuk melawan wabak merbahaya ini. Ini seterusnya meningkatkan semangat patriotik rakyat dan taat setia rakyat kepada tapuk kepimpinan.
Jelaslah disini, tiap musibah yang melanda pasti ada kebaikkan jika kita melihatnya dari sudut yang positif. Jadilah seperti mata lebah yang sentiasa mencari sisi positif sesuatu perkara. Jadikan fasa Perintah Kawalan Pergerakan ini masa untuk muhasabah diri dan kembali kepada fitrah insaniah, berpandukan syariat islam dengan meneladani Sunnah Nabi SAW.