fbpx Skip to main content
search
0

Wang bukan segala-galanya, namun segala- galanya memerlukan wang.

Inilah ungkapan yang sering kita dengar mengenai wang. Meskipun kita selalu mendengar pendapat masyarakat bahawa hendak bahagia tidak semestinya memerlukan wang, namun kita tidak dapat menafikan kepentingannya.

Cuba anda nyatakan, perkara apa yang tidak memerlukan wang masa kini? Hatta jika bercinta dan ingin memikat seseorang pun, perlukan usaha dari segi wang ringgit dan material, baru hati pasangan tertarik bukan?

Jadi disini kami bakal kongsikan serba sedikit asas pengurusan kewangan buat anda yang berusia 20 tahun dan keatas.

  1. Jagalah keberkatan dalam pekerjaan yang anda lakukan.

Sebagai orang Islam inilah perkara terpenting kita perlu beri perhatian didalam aspek mencari rezeki. Wajib untuk kita memastikan hasil dan rezeki yang kita perolehi itu adalah halal dan suci. Disamping itu, cara pelaksanaan juga haruslah mengikut syariat dan panduan yang dibenarkan Islam.

Hindari sumber yang Syubhah dan perkara terlarang tatkala bekerja, ini untuk menjamin keberkatan sumber rezeki anda.

Niatkan tiap tugasan yang dilakukan kerana Allah Ta’ala, disamping mencari rezeki halal buat keluarga, membiayai kehidupan dan menaburkan jasa kepada masyarakat.  Ingatlah ini adalah tanggungjawab kita buat diri, keluarga dan masyarakat yang perlu kita tunaikan dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Dua tunjang ini akan menghindarkan kita daripada perbuatan yang haram secara zahirnya seperti mencuri tulang, membuang masa, tikam belakang, rasuah dan sebagainya yang secara jelasnya menghilangkan keberkatan rezeki itu sendiri.

Mahukah kita merasai rezeki yang tidak berkat dan berkongsi bersama kaum kerabat kita? Hatta jika tinggi nilai imbuhannya yang kita perolehi, mahukah kita hanya makan gaji buta?

Oleh yang demikian, muhasabah semula diri dan tepuk dada bertanyalah kepada diri, adakah tugasan yang kita lakukan setimpal dengan nilai gaji bulanan yang kita terima? Agar wang yang kita terima itu benar-benar berpadanan dengan pekerjaan, maka optimakanlah waktu bekerja dengan penuh amanah, integriti, effisien dan tekun.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW mafhumnya; “Sesungguhnya Allah mencintai seseorang yang apabila mengerjakan sesuatu pekerjaan dilakukannya dengan penuh kesungguhan (itqan)”. (Riwayat al-Baihaqi). Berkat dari segi bahasa adalah bertambah dan berkembang.

Dari segi istilah, Imam Nawawi mendefinisikan berkat sebagai suatu kebaikan yang melimpah-ruah secara berterusan. Ini tidak dapat dilihat oleh mata kasar, namun dapat dirasai oleh hati yang semakin tenang dan lapang. Bukan terletak pada kuantiti, tetapi kualitinya yang meraih kepuasan hati dan jiwa.

 

  1. Usahakan untuk menyimpan sebelum berbelanja

Pepatah ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit’, inilah yang patut diterapkan sewaktu pengurusan kewangan kita. Sikap berdisiplin dan istiqamah semasa menabung wang akan membuahkan hasil dan sebagai jaminan kehidupan kita pada masa datang.

Semua orang sedia maklum, hidup ini ibarat roda, ada masa kita berada di atas dan ada ketika kita berada di bawah, justeru sediakanlah payung sebelum hujan sebagai persediaan menghadapi apa sahaja kemungkinan dan cabaran hidup.

Menurut pakar pengurusan kewangan peribadi,  tiap individu mahupun keuarga perlu menyisihkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan bulanan anda.

Buat pertama kali memulakan simpanan secara konsisten, mungkin agak susah, namun susah sekarang lebih baik berbanding sekiranya anda susah ketika waktu kecemasan kelak.

Berikut teknik membuat simpanan buat diri anda dan keluarga, antaranya teknik pemotongan automatik oleh pihak bank, teknik paksa rela iaitu dengan membuat pinjaman peribadi bagi tabungan dan teknik sampul surat iaitu dengan membuat peruntukan perbelanjaan tiap bulan bagi tiap sampul, termasuk peruntukan simpanan masa hadapan. Insyaallah selepas ini anda bakal memiliki simpanan                                                                                                                                                                                                                                                        sehingga 6 bulan gaji sebagai persediaan pada masa hadapan.

  1. Melabur wang kedalam platform yang menguntungkan dan diyakini

Ini adalah kesinambungan dan anugerah buat anda selepas berjaya membuat simpanan sehingga 3-6 bulan gaji. Jadi inilah masanya anda membiakkan dan menambahkan wang simpanan sebelum ini agar ianya semakin meningkat dan manfaatnya terlebar luas.

Sebenarnya terdapat pelbagai jenis pelaburan di pasaran yang boleh anda pilih mengikut perancangan masa depan anda seperti pelaburan di pasaran, pelaburan jangka masa panjang dan jangka masa pendek.

Ambil kira kemampuan bulanan anda membayar, masa yang anda miliki untuk memantau pelaburan anda dan toleransi risiko yang mampu anda pikul. Jangan lupa, ambil kira matlamat hidup dan keutamaan anda menabung sama ada demi perubahan gaya hidup, perkahwinan, pendidikan, rumah baru dan persaraan.

Pilih pelaburan anda, pastikan pulangan yang anda perolehi berbaloi dengan risiko yang anda ambil. Selain itu, jangan lupa untuk mengambil kira kebarangkalian inflasi mata wang pada masa hadapan, jadi pastikan kadar pulangan pelaburan anda melebihi kadar inflasi.

  1. Perancangan masa depan yang terjamin untuk yang tersayang

Sesudah bertahun- tahun lamanya anda bekerja demi menampung kehidupan orang yang tersayang dan memberikan keselesaan hidup, kita perlu akur hidup ini hanya sementara dan ajal boleh menjemput pada bila-bila masa.

Sanggupkah anda membiarkan insan- insan dibawah tanggungan anda terkapai- kapai untuk ‘survive’ tatkala ketiadaan anda kelak? Justeru, sediakanlah pelan perlindungan nyawa semenjak awal.

Rasulullah SAW telah bersabda; Sesungguhnya meninggalkan para waris dalam keadaan kaya dan berharta itu lebih baik dari meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan meminta-minta. (HR Imam Bukhari dan Muslim).

Didalam Islam juga telah menyediakan lima kaedah perancangan harta perwarisan iaitu wasiat, hibah, harta sepencarian, wakaf dan amanah. Rancanglah harta pusaka anda dengan bijak.

Ketahui siapa waris- waris anda, senaraikan kesemua aset dan hutang yang anda miliki, kenalpasti penerima wasiat dan penjaga harta anda, pilih kaedah perancangan  harta perwarisan yang bersesuaian dengan situasi anda dan kemaskini dan pantau perancangan perwarisan anda dari semasa ke semasa.

Beringatlah sebelum terlambat, kerana kematian tidak dapat dijangka oleh sesiapa, kemalangan dan bencana boleh berlaku kepada sesiapa dan mengelakkan asset menjadi beku yang mengakibatkan kekangan kewangan kepada waris. Sediakan payung sebelum hujan buat yang tersayang!

Subscribe
Notify of
guest

1 Comment
Inline Feedbacks
View all comments
1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x