fbpx Skip to main content
search
0

Allah Ta’ala berfirman di dalam Surah Al-Ahzab ayat 56: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya”.

Bulan Rabiul Awal, bulan kelahiran Nabi SAW bagi memperingati dakwah dan risalah Allah Ta’ala yang disampaikan melalui pengutusan baginda SAW. Kelahiran baginda SAW menjadi penutup sekalian nabi-nabi dan rasul-rasul sebelumnya. Ini menjadi penanda aras buat kita semua masa kini, agar taat kepada ajarannya dan mencontohi keteladanan baginda SAW .

12 Rabiulawal 1444 Hijrah, melakarkan sejarah tersendiri buat Malaysia serta seluruh dunia umumnya di dalam sambutan hari bersejarah Islam. Umat Islam tetap menghayati sambutan Maulidur Rasul dengan memperbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan Agung, Nabi Muhammad SAW.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah Qudwah Hasanah, semenjak tempoh kerasulan baginda SAW dan kekal hingga akhir zaman. Agama Islam mula hadir mengubah suasana kejahilan, serba kekurangan dari segi pegangan agama, gaya hidup dan peranan di muka bumi semenjak 1400 tahun dahulu. Telah Allah Ta’ala utuskan Nabi Muhammad SAW untuk berdakwah kepada umat manusia amnya bagi merungkai segala kejumudan.

Baginda SAW membawa risalah agung bagi membetulkan tauhid kepadaNya, memperindahkan akhlak dan menjadi contoh teladan yang sempurna. Ini  kerana, manusia secara fitrahnya memerlukan petunjuk bagi menerangi hidup ini. Justeru, Allah Ta’ala mendatangkan hidayah-Nya agar kita dapat membezakan jalan kebenaran dan kebatilan.

Seperti sabda Rasulullah SAW;

“Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia".

Perlu kita sedari bahawa kita adalah umat akhir zaman yang penuh dengan ujian dan fitnah. Oleh kerana itu, Nabi SAW semenjak ribuan tahun dahulu telah menitik beratkan akidah dan adab. Perjuangan baginda SAW ini telah menyelamatkan umat manusia daripada hanyut di dalam dugaan akhir zaman seperti hedonisme, bid’ah dan LGBT hingga kini walaupun masih tetap ada yang mengamalkannya. Hikmah baginda SAW melalui lisan, perbuatan dan pengakuan kekal terakam kemas sebagai Sunnah, buat kita semua agar terselamat pada akhir zaman ini.  Maulidur Rasul, lambang Qudwah Hasanah terbaik!

Ayuh kita telusuri semula sirah dan adab Nabi SAW melalui pembacaan kitab hadis dan tafsir. Inilah masanya kita mengamalkan adab-adab mulia baginda SAW yang kita sudah pelajari semenjak dahulu.

Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x