fbpx Skip to main content
search
0

Hidup kerana Allah Ta’ala.

Hakikat kehidupan manusia adalah hidup bertuhan. Secara fitrahnya, hidup ini perlu kepada Allah yang Maha Esa dan merasakan diri ini kerdil sebagai hamba yang amat bergantung harap kepada-Nya. Justeru, sikap kehambaan ini menuntut kita sentiasa merendah hati didalam setiap perbuatan mahupun usaha.

Doa senjata orang Mukmin, begitu juga buat pelajar pascasiswazah atau bangsa posgrad. Kita sebagai hamba-Nya mengakui bahawa antara sifat-Nya iaitu Al-Alim, Yang Maha Mengetahui. Dalam usaha menuntut ilmu sebenarnya kita sedang meningkatkan rasa kehambaan diri dihadapan-Nya terhadap ilmu-Nya yang Maha Luas.

Ini kerana sesungguhnya ilmu-Nya ibarat laut terbentang luas, Dia Maha Mengetahui sekecil-kecil perkara yang ada di bumi mahupun di langit. Malahan ilmu manusia sebenarnya ibarat titisan lautan, yang sangat sedikit dan terbatas. Semakin tinggi pengajian kita, kita seharusnya semakin merendah diri atau tawadhuk, seperti firman Allah Ta’ala:

“Katakanlah sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)”. (Al-Kahfi : 109).

Sentiasalah berbicara dengan Allah Ta’ala setiap waktu, memohon keampunan daripada-Nya agar diri kita terhindar daripada sifat sombong dan bongkak. Malahan bersyukurlah kerana kita berpeluang mengenali hakikat diri dan keluasan ilmu-Nya melalui wasilah pengajian formal mahupun tidak formal.

Ini secara tidak langsung memupuk ketenangan jiwa, kerana semakin menyedari kita sedang menjalankan pekerjaan yang mulia demi kesejahteraan dunia dan akhirat, iaitu penuntut ilmu. Agar perjalanan menuntut ilmu kita berjalan lancar dan tidak tersangkut, buangkanlah keegoan diri dan keladak hati.

Ilmu itu cahaya.

Sesungguhnya ilmu itu cahaya yang tidak masuk kedalam kegelapan. Justeru bukalah pintu hati dengan sinaran hidayah-Nya melalui senjata paling ampuh, iaitu doa. Lazimkan diri berdoa dengan Al-Fatihah, yang berupaya membuka pintu hati kita menerima ilmu-Nya dengan mudah dan lapang.

Perbetulkan semula niat kita menuntut ilmu, iaitu mendapatkan redha-Nya dan menjadi khalifah yang bermanfaat dengan cara mengaplikasikan ilmu-ilmu-Nya. Hanya dengan ilmu kita berupaya menakluki dunia dan mencapai kejayaan di dunia dan akhirat seterusnya menuju syurga-Nya.

Ikutilah Hadis Rasulullah SAW; Sampaikanlah ilmu daripadaku walaupun hanya satu ayat. Berdoalah supaya kita tergolong dalam kalangan mereka yang merendah diri untuk menyebarkan amanat-Nya dengan ikhlas. Sesungguhnya doa adalah sahabat sejati penuntut ilmu, demi menjamin kecemerlangan hakiki masa hadapan!

Dapatkan lebih banyak penulisan online menarik dan kreatif, buat motivasi dan inspirasi anda dengan melayari dan ikuti #penacikbungaliana !

Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x