fbpx Skip to main content
search
0

Kebahagiaan adalah hak diri setiap insan di muka bumi ini. Tiada siapa yang dapat menafikan keinginan seseorang untuk berbahagia, selama mana mereka tidak menyalahi hak sesiapa dan memudharatkan situasi semasa mereka. Inilah asas kebebasan individu yang perlu difahami.

Hidup adalah pilihan.

Setiap sesuatu Allah Ta’ala ciptakan secara berpasang-pasangan seperti tertulis didalam surah Yasin ayat 36 mafhumnya: “Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.”

Sama seperti diri kita sebagai makhluk-Nya di muka bumi ini, kita bebas memilih perkara yang baik- baik ataupun sebaliknya. Sememangnya pemilihan ini bergantung kepada diri sendiri, namun faktor luaran juga memberi pengaruh kepada kita secara tidak langsung.

Oleh sebab itu, Islam begitu menggalakkan kita berada didalam kelompok orang-orang yang soleh yang tergolong daripada ahli ilmu, orang yang beradab dan ahli warak. Ini bagi membenarkan hadis Rasulullah SAW: Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan seorang tukang besi.

Adapun penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.

Ini sangat berhubung dengan dua keutamaan yang sangat penting untuk kebahagiaan diri anda. Mari kita semak dua perkara ini, adakah kita memiliknya dan cakna tentangnya:

  1. Bersyukur

Perkara utama perlu anda selami dan semat didalam hati adalah sifat syukur. Bersyukurlah kepada Allah Ta’ala atas segala nikmat kurniaan walaupun sekecil-kecil zarah yang memungkinkan anda mengecapi kehidupan sekarang. Menurut kajian sosiologi kemanusiaan, mereka yang paling bahagia bukanlah kerana memiliki kekayaan yang melimpah ruah, rumah bak istana, jawatan yang tinggi mahupun status kenamaan.

Usah terkejut, kerana individu paling bahagia kebanyakkan kerana mereka berasa gembira dengan diri mereka sendiri dan apa yang dimiliki biarpun serba sederhana dan biasa-biasa. Ini kerana mereka faham akan konsep kebahagiaan sebenar terletak didalam hati, iaitu berasa bersyukur seadanya dan menghargai detik kehidupan sekarang sepenuhnya tanpa kerisauan memikirkan harta dan pangkat duniawi yang hanya sementara.

Kesyukuranlah yang akan menjadikan kita kaya dunia dan akhirat dek kerana kita tidak mungkin dapat membayar nikmat kurniaan Allah yang Maha Luas. Seperti firman Allah Ta’ala didalam surah An-Nahl ayat 18 mafhumnya: “Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah nescaya kamu tidak akan dapat menentukan jumlahnya”.

Oleh itu, usah menyempitkan fikiran dan berkira-kira untuk bersyukur berdasarkan harta materialistik sahaja, kerana kita tidak mungkin dapat mengira nikmat-Nya yang lain. Marilah kita menyebut dan mencatat kesyukuran harian kita agar dapat memperolehi nikmat yang luar biasa, iaitu kebahagiaan abadi.

  1. Ikhlas

Keutamaan kedua untuk menjamin kebahagiaan anda adalah bersifat ikhlas. Sifat ikhlas ini Islam begitu menitik beratkan kepada umat-Nya, sehingga Allah Ta’ala menurunkan surah Al-Ikhlas didalam Al-Quran. Seperti didalam surah-Nya, sifat ikhlas ini tidak dapat dilihat namun dapat dirasakan didalam hati sanubari seorang Muslim.

Benar, manusia secara umumnya mahukan ganjaran atas usaha dan perbuatan yang mereka kerjakan secara sukarela mahupun atas faktor yang lain. Namun begitu, didiklah hati menyalurkan niat setiap perbuatan mahupun amalan hanya kerana Allah Ta’ala, bagi mengecapi redha dan syurga-Nya.

Kita sebagai manusia biasa kadang kala mengharapkan balasan zahiriah seperti penghargaan manusia, ganjaran istimewa dan sebagainya. Dalam usaha menjadi insan yang benar-benar ikhlas tidak mudah dan perlukan latihan daripada semasa ke semasa, kerana ikhlas tidak dapat diraih dengan percuma. Ada ‘harga’ dan pengorbanan yang perlu anda bayar.

Antara caranya dengan menghindari perbuatan sia-sia, lantas gantilah perkara tersebut dengan amalan-amalan yang kecil namun berterusan. Ikhlas juga merupakan perbuatan yang kecil dan sedikit, namun konsisten dan istiqamah mengamalkannya. Seperti hadis Rasulullah SAW: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.”

Akhir kata, anda berhak mendapat kebahagiaan yang anda idamkan serta mengikut syariat-Nya. Inilah dua keutamaan yang perlu anda ada didalam diri bagi mencapai kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat. Percaya kepada dua proses ini dan didik hati anda sekarang!

Dapatkan lebih banyak penulisan online menarik dan kreatif, buat motivasi dan inspirasi anda dengan melayari dan ikuti #penacikbungaliana !

Subscribe
Notify of
guest

1 Comment
Inline Feedbacks
View all comments
1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x