Senyuman adalah sedekah.
Pepatah Arab ini mudah mendapat kefahaman masyarakat secara umumnya. Senyuman adalah perbuatan paling mudah, namun kesannya dan ganjarannya begitu besar buat si pelaku dan penerima senyuman itu. Senyuman anda ibarat magnet buat insan sekeliling.
Sebagai umat Islam, kita meyakini bahawa senyuman sebahagian amalan mulia dan ibadah buat diri kita. Hanya dengan mengukir sebuah senyuman, pelbagai ganjaran pahala menanti kita. Senyuman bukan sahaja menyebarkan kebaikan dan semangat positif kepada insan sekeliling. Malahan tatkala anda mengukirkan senyuman ikhlas, anda sedang mengikat tali persaudaraan dan ikatan silaturrahiim yang kukuh. Malah Allah Taala menjanjikan rezeki yang tidak putus buat mereka bersilaturrahim.
Ini tingkatan senyuman istimewa anda yang perlu anda ketahui, agar anda mencapai tingkatan yang tertinggi iaitu keredhaan Allah:
- Bermula daripada hati dan minda
Peringkat pertama bermula daripada dalam diri anda. Anda adalah apa yang anda fikirkan dan rasa. Oleh itu, fikirkan perkara yang positif dan indah sahaja, bersyukurlah seadanya agar kegembiraan dan ketenangan sentiasa anda rasakan.
- Senyuman terpancar pada wajah dan tindakan
Hati yang girang terpancar serinya pada wajah. Senyuman yang datang daripada hati nuraini yang bersih pasti mengindahkan wajah setiap insan. Tindakan anda juga pasti lebih optimis dan meyakinkan, seterusnya menarik kepercayaan insan sekeliling terhadap kredibiliti diri anda.
- Menyebarkan senyuman kepada insan sekeliling
Tatkala anda gembira dan yakin dengan dri sendiri, ketika itu anda mampu menyebarkan senyuman kepada insan sekeliling. Anda tidak berasa ragu-ragu lagi untuk tampil gembira dan optimis di khalayak ramai. Malah, senyuman dan tindakan anda menjadi inspirasi dan ikutan mereka untuk turut tersenyum dan bersangka baik sesama insan.
- Rasulullah SAW tersenyum kepada kita
Tatkala kita berjaya menggembirakan insan sekeliling dengan menjadi contoh teladan yang baik kepada mereka, Rasulullah SAW pasti tersenyum kepada akhlak kita. Senyum juga merupakan antara sunnah Nabi SAW. Rasulullah SAW pasti berbangga dan tersenyum apabila kita mengamalkan dan menyebarkan sunnahnya.
- Allah Taala akan senyum kepada kita
Inilah tingkatan senyuman tertinggi buat anda. Betulkan niat kita semula, jika kita mengharapkan balasan daripada manusia, sesungguhnya ianya sangat terbatas. Ketahuilah nikmat terbesar didalam kehidupan adalah apabila Allah Taala tersenyum kepada kita kerana niat dan amalan yang betul. Malah kita akan memperolehi ganjaran dan ketinggian darjat yang lebih abadi di dunia dan akhirat.
Akhir kata, senyuman merupakan suatu proses yang bermula daripada tindakan. Ilmu tanpa amalan ibarat pokok tanpa buah-buahan. Justeru setelah anda membaca artikel ini, teruslah beramal dengannya bagi mencapai maksud ungkapan Imam Hanbal ini: Sekiranya Allah Taala tersenyum kepada seorang hamba, mereka tidak akan dihisab. Senyuman anda seindah suria!
Dapatkan lebih banyak penulisan online menarik dan kreatif, buat motivasi dan inspirasi anda dengan melayari dan ikuti #penacikbungaliana !