fbpx Skip to main content
search
0

Kebelakangan ini seluruh Malaysia menjadi gempar ekoran terselongkarnya kes penipuan atau ‘Macau Scam’ yang melibatkan kerugian jutaan ringgit kepada mangsanya. Marah, kecewa, tidak puas hati dan emosi yang bercampur baur tatkala kita mendengar berita jenayah ini. Manakan tidak, mereka yang tidak bersalah, yang saban waktu mengerah keringat empat tulang menjadi mangsa sindiket penipuan ini.

Ini pengajaran buat kita, jangan biarkan nasi menjadi bubur.

Pastinya kita tidak mahu diri sendiri, keluarga mahupun insan sekeliling menjadi mangsa, mahupun pemangsa yang sudah terang lagi bersuluh salah. Amanah dan kejujuran, perkara asas yang perlu kita lakukan kepada diri sendiri terlebih dahulu sebenarnya. Aset paling bernilai buat diri kita sebagai manusia adalah akal pemikiran yang baik disamping nikmat iman dan Islam, yang membezakan kita sebagai manusia dengan makhluk yang lain. Renungkan, sejauh manakah kita jujur terhadap diri menjaga amanah dan nikmat percuma ini?

Allah Ta’ala sendiri telah berfirman mafhumnya: Dan pada diri kamu, apakah kamu tidak memikirkannya? (Ad- Zariyat ayat 28)

Imam At- Thabari  menafsirkan  kalam Agung ini didalam Tafsirnya: “Pandangan paling tepat dalam menjelaskan makna ayat ini adalah: Pada diri kamu juga wahai umat manusia terdapatnya tanda-tanda kebesaran Allah dan juga ibrah yang menunjukkan kepada kamu akan keesaan Pencipta kamu. Dan sesungguhnya tidak ada Tuhan bagi kamu selain-Nya. Dari sudut tidak ada yang berkuasa menciptakan seperti ciptaan-Nya kepada kamu. Maka apakah kamu tidak merenung secara mendalam akan hal tersebut serta berfikir padanya. Nescaya kamu akan mengetahui hakikat keesaan Tuhan kamu’’. Rujuk Tafsir Al-Thabari (22/419).

Kita mampu membezakan perkara baik dan betul melalui pemikiran yang bertunjangkan petunjuk dan cahaya- Nya. Tingkatkan kefahaman agama anda berpandukan wahyu-Nya, bimbinglah akal kita agar bertindak seadilnya mengikut fitrah Islamik.  Seiringnya dengan pertambahan usia, kita sewajarnya sudah matang membuat keputusan bijak dan memilih tindakan-tindakan yang betul sahaja. Namun, mengapa masih lagi ada insan yang tergamak memilih haluan yang murka dan menindas insan sekeliling secara tidak langsung?

Orang yang tamak selalu rugi

Ya, secara fitrahnya manusia memang gemarkan nikmat duniawi seperti harta, pangkat, wanita, keturunan, kecantikan dan sebagainya. Seperti firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Imran ayat 114 mafhumnya; “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan dan anak- pinak, harta benda yang banyak bertimbun- timbun daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu kesenangan hidup didunia, Dan ingatlah pada sisi Allah adalah tempat kembali terbaik.”

Tidak salah untuk kita berusaha mendapatkan nikmat duniawi ini, namun usah terlalu taksub dan berlebih-lebihan sehingga menindas insan lain. Fahamilh bahawa harta dan kekayaan Allah kurniakan supaya kita semakin merendah diri kepada-Nya dan bersyukur, bukan untuk mengumpulnya hingga timbul sifat tamak dan rakus. Ingatlah, kekayaan duniawi hanyalah sementara dalam kehidupan dunia, nikmat di akhirat tidak tergambar lebih besar dan kekal abadi.

Allah Ta’ala berfirman didalam surah Al-Imran ayat 185 yang bermaksud; “ Dan ingatlah bahaw kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesaranya, tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya”.

Ingatlah semua, setiap nikmat Allah Ta’alah yang kita rasai sejak dahulu adalah amanah kurniaan Allah Ta’ala untuk menilai tahap keimanan kita. Dengan usaha untuk mendapatkannya dengan jalan benar lagi mulia, insyaallah kita akan mampu memikulnya dengan jujur dan baik seterusnya menjadikan kita semakin bersyukur. Kesyukuran sebenarnya memiliki aura dan tarikan yang amat positif, kerana Allah Ta’ala sendiri berjanji sekiranya kita bersyukur, kita akan menarik dan mendapat nikmat yang lebih besar.

Keberkatan hidup mengatasi nilai kuasa dan harta

Ajaibnya formula Islam mengenai kesyukuran dan keberkatan. Penilaian manusia lebih tertarik kepada jumlah yang banyak dan keindahan duniawi semata- mata yang sememangnya terbatas. Allah Ta’ala mengutamakan keberkatan dalam apa jua amalan manusia. Kerana hanya dengan izin-Nya, kita akan merasa cukup dalam hasil yang telah kita usahakan. Inilah yang kita namakan sebagai sifat Qanaah, iaitu sentiasa Redha dan menerima pemberian Allah Ta’ala kerana yakin itu adalah terbaik untuk kita.

Ukur baju di badan sendiri.

Jika kita hanya mampu berusaha sekadar itu mengikut kemampuan yang pemikiran dan tulang empat kerat, terima dan bersyukurlah dengan hasilnya. Usah mengimpikan sesuatu perkara di luar kemampuan kita hingga tergamak menipu dan memperdayakan insan sekeliling secara haram. Semua ini akan menjadi tanggungjawab kita di dunia dan akhirat kelak. Kita sendiri yang akan merasai kesan dan akibat tindakan buruk kita, kerana sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh ke tanah juga.

Kita sama sekali tidak hebat sekiranya hasil kekayaan kita bersumberkan kerja- kerja yang tidak halal dan melanggar syariat-Nya. Namun, kita sememangnya hebat kerana berjaya bersabar melawan keinginan yang tidak pernah cukup, sekiranya menurut nafsu amarah.

Keberkatan inilah yang akan membuatkan kita berasa bahagia, tenang dan sejahtera bersama keluarga. Keajaiban ini tidak mampu kita rungkai secara saintifik, namun inilah janji Allah Ta’ala buat mereka yang jujur dan amanah dalam pekerjaan dan amalan dunia dan  akhirat.

Mahukah kita hanya disanjung dan dikagumi oleh manusia, sedangkan Tuhan Yang Maha Berkuasa dan makhluk di langit begitu murka dengan kita?

Mahukah kita berbangga dengan kekayaan palsu, sedangkan perolehannya secara haram.

Integriti diri kita lebih penting kerana menjamin kesejahteraan kehidupan di dnia dan akhirat. Hanya dua perkara ini mampu melindungi integriti kita iaitu jujur dan amanah!

Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x