Pertama kali mendaftar Master PhD, perkara yang paling menerujakan buat bangsa Posgrad adalah mengetahui siapakah gerangan bakal penyelia atau supervisor mereka. Bak kata pepatah; Ibarat kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan.
Sebagai bangsa posgrad yang masih baru, pastinya anda memerlukan pemimpin yang mampu menjadi penaung dan pelindung pengajian anda yang amsih hijau.
Ya lah, perjalanan PhD penuh dengan ranjau dan cabaran tidak terduga. Justeru, anda sangat memerlukan penyelia yang berupaya menyelesaikan permasalahan dan menyelamatkan pengajian anda.
Walaupun penyelia bukanlah satu- satunya penyebab kejayaan pengajian, namun penyelia sebenarnya penyumbang utama terhadap kelancaran kajian anda. Pemilihan penyelia yang tepat perlu anda buat seawal pengajian untuk mengelakkan keresahan ya!
Tenang dahulu. Ini antara kriteria utama pemilihan penyelia yang patut anda tekankan:
- Maklum balas kenalan dan pelajar seliaan penyelia tersebut
Cuba anda risik- risik kenalan sepengajian serba sedikit mengenai bakal penyelia anda. Ini kerana, mereka telah mengenali penyelia tersebut dan mungkin dapat memberikan anda saranan untuk menjadi pelajar seliaan beliau ataupun tidak.
Jika tiada kenalan yang dapat anda risik, anda boleh bertanya pelajar seliaan penyelia tersebut sebelum ini tentang pendapat mereka. Selidik sedikit rekod pengajian mereka sama ada mereka gembira dibawah seliaan penyelia tersebut, ataupun adakah mereka berjaya graduasi tepat pada waktunya?
- Reputasi penyelia
Reputasi penyelia yang cemerlang pastinya menjadi dambaan bangsa Posgrad untuk menjadi pelajar seliaan beliau. Dalam dunia pengajian tinggi di setiap institusi, pastinya ada beberapa nama yang terkenal kerana kemahirannya mahupun penerbitannya yang banyak dan berkualiti. Awas, usah terburu- buru membuat keputusan berdasarkan penilaian luaran semata- mata.
Seorang yang mahir mahupun pakar didalam bidang mereka, tidak semestinya seorang penyelia yang baik dan ideal. Ini kerana, penyelia hendaklah seorang yang passion didalam memberi tunjuk ajar dan mampu menjadi guru yang baik!
- Peluang dana melalui geran penyelidikan
Menjalankan penyelidikan Master PhD menelan peruntukan yang agak besar sebelum anda dapat siapkan dengan sempurna. Terdapat professor yang memperolehi dana yang tinggi daripada projek kajian mereka. Justeru anda berpeluang mendapatkan biasiswa pengajian sekiranya kajian pengajian anda menyumbangkan hasil untuk projek tersebut.
Sungguhpun begitu, ada juga projek yang tidak berjaya mendapatkan bantuan dana mahupun geran penyelidikan. Ini sudah pasti mengundang masalah pada masa hadapan dan dibimbangi masa anda akan tersia-sia kerana kekangan kewangan. Jika boleh, pilihlah penyelia yang berhasil mendapatkan peruntukan dana demi kelancaran kajian anda!
Tiga kaedah kriteria pemilihan penyelia ini sangat penting untuk anda yang baru sahaja mendaftar dan bergelar bangsa Posgrad. Jangan hanya berserah pada takdir dan pemilihan oleh Jawatankuasa Siswazah Fakulti sahaja yang menentukan calon penyelia anda.
Anda berhak mendapatkan penyelia yang anda selesa untuk bekerjasama demi kejayaan kajian anda. Nantikan lebih banyak tips yang sangat berguna buat anda dalam pemilihan penyelia, pada artikel seterusnya!
–>Dapatkan lebih banyak penulisan online menarik dan kreatif, buat motivasi dan inspirasi anda dengan melayari dan ikuti #penacikbungaliana !