Mendapatkan penyelia yang terbaik dan serasi adalah impian setiap pelajar pascasiswazah. Anda yang sedang bercadang menyambung pengajian, mahupun baru sahaja mendaftar pasti tertanya- tanya, bukankah penyelia kita telah ditentukan oleh Jawatankuasa Siswazah Fakulti?
Ya benar, namun ada juga hak untuk anda mendapatkan penyelia yang terbaik, bagi memastikan kelancaran pengajian anda! Ini bagi memastikan tiada konflik ataupun isu yang timbul sekiranya anda tidak peka akan perkara ini seawal pengajian. Kerana ketika itu, anda sukar untuk berpatah balik dan usahlah menunding jari atas kesilapan sendiri sebenarnya.
Berikut kami senaraikan sambungan kriteria pemilihan penyelia buat anda wahai bangsa Posgrad:
- Sikap dan budi pekerti penyelia
Cuba dapatkan penyelia ataupun pensyarah yang baik budinya dan disenangi sikapnya oleh pelajar seliaan bawahnya. Biarlah mereka seorang yang mesra pelajar dan mudah dibawa berbincang setiap kali anda bertemunya. Sebelum itu, pastikan anda mudah membuat temu janji untuk berjumpanya pada sekerap mungkin (berbincang awal bila masa yang beliau boleh) samada setiap minggu, setiap 2 minggu, setiap bulan bagi membincangkan penyelidikan kita. Ini petanda awal, bakal penyelia anda itu bermotivasi tinggi dan begitu passion dalam membantu kejayaan penyelidikan anda. Gunakan Roket Research Diary (RRD) untuk anda dilihat lebih serius dalam menetapkan temujanji tersebut.
- Kepakaran
Kepakaran penyelia perlu anda selidiki sebelum membuat keputusan untuk menjadi pelajar dibawah seliaan beliau. Kenal pasti latar profil penuh beliau didalam laman web rasmi Universiti anda. Pastikan bakal penyelia anda memiliki kepakaran yang tinggi didalam bidang penyelidikannya dan juga selari dengan tajuk tesis anda. Mudah untuk anda pergi jauh didalam bidang penyelidikan anda sekiranya anda bergurukan pensyarah yang tepat dan mereka yang arif dalam bidangnya.
- Koleksi Hasil Penerbitan
Anda sedia maklum bahawa saat bergelar bangsa posgrad, anda secara automatik wajib untuk menerbitkan artikel dan jurnal mengikut prosedur dan ketetapan fakulti pengajian anda. Kini, terdapat sesetengah institusi pengajian yang memperketakan syarat penerbitan iaitu hendaklah berimpak tinggi dan mencapai standard yang dikehendaki. Sekiranya bakal penyelia anda memiliki koleksi hasil penerbitan jurnal mahupun artikel yang dapat anda banggakan dan berpuas hati, ini secara tidak langsung anda berpeluang mendapatkan tunjuk ajar beliau dalam ilmu penerbitan dan penulisan yang tepat. Ini berkait rapat dengan kepakaran tadi.
Akhir kata, sebenarnya tidak sukar untuk anda meneliti seseorang pensyarah sebelum menjadi pelajar seliaan beliau. Luangkan masa melayari laman web rasmi Universiti anda, dan pergi ke halaman senarai pensyarah atau penyelidik. Anda boleh ketahui serba sedikit profil mereka dan pastikan ianya selari dengan tajuk kajian anda.
Bagaimana pula sekiranya tersilap penyelia, masih ada peluang kah untuk menukarnya?
Boleh, anda boleh membuat permohonan secara rasmi apabila mahu menukar penyelia. Namun sebenarnya tidaklah semudah itu hendak menukarnya. Proses ini hanya boleh dilakukan setelah anda mendaftar. Sekiranya penyelia pilihan anda telah penuh kuota pelajar dibawah seliaannya, anda boleh bersabar atau mencari penyelia yang lain. Sekiranya permohonan anda berjaya, mohon restulah daripada penyelia lama dan maklumkan secara jujur. Insyaallah semuanya berjalan lancar!
Akhir sekali, perlu diingatkan. Jangan sesekali salahkan penyelia anda jika sekiranya anda tiada progress, atau progress anda terlalu lambat. 80% progress anda ada atau tidak adalah daripada diri anda sendiri. Samada penyelia yang mengejar anda, atau anda yang mengejar penyelia. Belajar cara untuk “tackle” hati penyelia.
–> Dapatkan lebih banyak penulisan online menarik dan kreatif, buat motivasi dan inspirasi anda dengan melayari dan ikuti #penacikbungaliana !