Media Sosial Pembuka Minda Kesyukuran
Tatkala media sosial menjadi fenomena masa kini di Malaysia kerana menjadi negara ke-9 paling aktif, minda rakyatnya juga turut berkembang dan mampu menilai ragam dunia secara matang.
Instagram sebagai contoh, memaparkan kegembiraan pemilik akaun tersebut bersama pasangan, keluarga, sahabat handai mahupun kebahagiaan diri sendiri bersama hobi, barang kesukaan, makanan kegemaran dan pelbagai lagi nikmat yang dikongsi bersama.
Ini sebenarnya menggambarkan kenikmatan yang ada di bumi Malaysia ini. Kaya dengan nikmat flora dan fauna, hasil alam yang unik dan pelbagai, tempat- tempat menarik sebagai destinasi pelancongan seterusnya merangsang pembangunan eknomi negara yang utuh.
Keutuhan sumber dan penjana hasil bumi inilah yang membawa kepada keharmonian rakyatnya yang mampu hidup didalam kedamaian dan keharmonian bersama- sama.
Malaysia Bumi Bertuah
Sungguh, Malaysia adalah bumi yang bertuah. Tanah air ini yang dahulunya pernah menjadi sasaran penjajah, mengalami penindasan sehingga rakyatnya ibarat melukut di tepi gantang di tanah air sendiri.
Berkat kewibawaan dan perjuangan para pemimpin kita, kita berjaya bergelar anak merdeka dan tahun 1963, Tanah Melayu sekali lagi bertambah kukuh dengan pembentukan negeri-negeri di bawah persekutuan hingga terbentuknya negara Malaysia yang lebih jelas membawa kebebasan hidup dan peluang rakyatnya menempa kejayaan.
Malaysia kini terdiri daripada 13 buah negeri dan 3 buah wilayah persekutuan, negara yang ditadbir oleh seorang Perdana Menteri dan diketuai oleh Yang Dipertua Agong yang melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi.
Mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi, Malaysia juga menjadi perhatian dunia kini dek kerana keunikkan budaya yang berasal daripada kepelbagaian kaum, bangsa dan etnik yang bebas mempraktiskannya di sini.
Jalur Gemilang Jati Diri Malaysia
Semua ini termaktub didalam makna tersembunyi disebalik simbol dan warna rasmi jalur gemilang, kebangaan rakyat Malaysia. 14 jalur merah dan putih beserta 14 bucu pecahan bintang menggambarkan keanggotaan dan kesatuan 13 buah negeri dan kerajaan persekutuan.
Warna kuning melambangkan kedaulatan Duli- duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, biru melambangkan perpaduan rakyatnya. Manakala bentuk anak bulan adalah simbolik agama Islam adalah agama rasmi namun rakyatnya bebas menganut agama masing-masing.
Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan bahasa pengantara rakyatnya. Manakala bahasa Inggeris adalah bahasa kedua selari dengan hubungan diplomatik antarabangsa yang membawa kepada perkembangan ekonomi, politik, Pendidikan dan pelbagai kemakmuran lain.
Lagu Negaraku yang berkumandang tiap kali didalam upacara rasmi negara, institusi Pendidikan dan badan-badan kerajaan mahupun bukan kerajaan terus menjadi kehormatan rakyat Malaysia yang menyanjungi kedaulatan Tanah Air. Kami mengucapkan Selamat Meyambut Hari Malaysia yang ke-57. Ingatlah, Malaysia Prihatin dan Kita Jaga Kita!