Tanggal 16 September 2020, tanah air kita yang tercinta telah pun menyambut Hari Malaysia
yang ke-57 tahun. Hari Bersejarah ini mencatatkan peristiwa pembentukkan Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia.
Uniknya kita kerana mempunyai berbilang bangsa, agama, kaum & budaya, berbanggalah!
Namun, didalam perjuangan membina sebuah negara Malaysia, pelbagai cabaran dan rintangan yang telah pemimpin negara terdahulu dan nenek moyang kita hadapi.
Peristiwa rusuhan kaum sebagai contoh yang berlaku pada 13 Mei 1969 hingga meragut nyawa, membuka mata semua pentingnya sikap toleransi dan mengamalkan nilai- nilai murni rakyat Malaysia agar keharmonian bersama terus terjamin.
Jangan risau, kita tidak pernah terlambat! Tanpa mengira usia dan latar belakang, ayuh kurangkan kejumudan dan api perselisihanan sesama kita dengan amalan nilai- nilai murni ini:
1. Berbudi bahasa budaya kita
Kecil tapak tangan, nyilu kita tadahkan. Setiasa ingat untuk berterima kasih atas nikmat yang kita perolehi. Ucapkan penghargaan tanpa syarat kepada sesiapa sahaja yang telah memberi khidmat secara langsung atau tidak langsung.
Jangan sesekali terlupa untuk megucapkan terima kasih kepada tuhan atas nikmat menjadi rakyat Malaysia, kepada pemimpin negara atas kecekalan mereka mendapatkan dan mengekalkan keharmonian buat negara dan kepada insan sekeliling sebagai tanda menghargai semangat kekitaan.
Bersungguh- sungguhlah menyampaikan penghargaan atas segala nikmat, insyaallah pelbagai nikmat besar akan kita kecapi kerana bersyukur.
2. Hormat- Menghormati
Yang tua dihormati, yang muda disayangi´. Inilah cogan kata anak Malaysia sejak zaman nenek moyang kita. Pepatah Melayu mengatakan; `Tiada yang lama, sudah pasti tiada yang baru´. Keringat dan kecekalan mereka yang terdahulu sungguh besar dalam mengekalkan kemakmuran negara, hargailah sebelum terlambat!
Namun begitu, perjuangan mereka bakal menjadi sia-sia sekiranya tidak menjadi penyambung kepada generasi selepas mereka. Oleh itu, sayangilah belia dan anak-anak muda agar mereka lebih bersemangat menyambung perjuangan terdahulu.
3. Bekerjasama
Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing, peribahasa Melayu yang mementingkan sikap kerjasama sesama kita. Pembentukan Malaysia mungkin tidak berlaku pada 16 September sekiranya tidak mendapat kerjasama negara dan pemimpin yang terlibat.
Kini, menjadi tanggungjawab kita sebagai anak Malaysia untuk bekerjasama mengekalkan keharmonian negara melalui perpaduan yang tinggi.
Masalah yang besar akan menjadi kecil, perkara yang susah akan menjadi mudah dengan amalan kerjasama. Percayalah, Malaysia akan maju di mata dunia dengan pencapaian- pencapaian luar biasa melalui kerjasama anak Malaysia yang saling menyokong.
4. Patriotik
Sematkanlah perasaan cinta akan tanah air melalui semangat patriotik dan kenegaraan yang tinggi didalam jiwa. Dimensi kemerdekaan sekian abad bergantung kepada patriotisme rakyatnya dari sudut pemikiran, tindakan dan sumbangan.
Kemajuan masyarakat sesebuah negara pasti tercapai dari sudut pendidikan, kesihatan, kesukanan, aktiviti sosial dengan semangat patriotik yang ingin berjasa kepada tanah air. Kibarkan jalur gemilang, keudarakan lagu negaraku bukti kita adalah warganegara yang berjiwa patriotik.
5. Kesederhanaan
Bersederhanalah dalam semua tindakan dan keadaan agar hidup kekal terjamin untuk jangka masa panjang. Sewaktu kecil kita selalu mendengar nasihat “orang yang tamak selalu rugi”.
Biarpun negara ini kaya dengan sumber bumi dan pelbagai nikmat, bersederhanalah menikmatinya. Mereka yang mengamalkan sikap kesederhanaan pasti disenangi oleh masyarakat, seterusnya menjadi pembina jambatan etnik dan duta keharmonian. Ingatlah, kesederhanaan kunci pembangunan negara melalui kebijaksanaan kita memanfaatkan nikmat yang ada.
Ingatlah, jadi seperti jarum yang menyatukan masyarakat, bukan seperti gunting yang memecah belahkan kita semua. Nilai- nilai murni ini adalah usaha membentuk anak Malaysia yang bersatu-padu, usahalah bersungguh-sungguh memahaminya dan teguh pendirian jati diri anak Malaysia yang penuh berbudi bahasa!