Sesi pembentangan Viva dihadapan para pemeriksa di dalam bilik Viva, merupakan satu detik yang mendebarkan buat semua bangsa Posgrad. Ini adalah masa yang dinanti- nantikan oleh semua pelajar PhD yang telah bertungkus-lumus lebih dua tahun menghasilkan tesis dan menjalankan kajian demi kajian. Viva Voce, pecutan terakhir anda bagi mendapatkan gelaran kehormat Doktor Akademik.
Kami kongsikan lima tips buat anda sebelum masuk sesi Viva Voce agar kejayaan mengiringi anda, Insyaallah:
- Pastikan kesemua maklumat yang perlu dibentangkan kepada para pemeriksa telah pun anda senaraikan dengan lengkap. Ingat pemerika tesis bukan nak dengar anda berceramah atau bercakap sesuka hati. Mereka mahu semak dan selaraskan bahan-bahan dalam tesis anda, sama ada konsisten atau tidak dan bertepatan dengan kriteria yang mereka sedang nilai.
Jika anda risau kehilangan dan kecelaruan maklumat yang telah anda analisis dan mahu bentangkan, pastikan anda menghasilkan satu skrip lengkap untuk pembentangan. Ini supaya tutur kata anda lancar dan menepati isi kandungan tesis anda. Lebih baik jika anda berlatih bercakap menggunakan skrip tersebut dan mengulanginya supaya kelihatan natural.
- Hasilkan slide pembentangan yang amat jelas tentang apa yang anda telah kaji dan tulis. Bukan tiba-tiba rasa hendak tambah maklumat baru yang tiada didalam tesis, yang bakal mengganggu kelancaran Viva anda. Pastikan anda merancang susunan slide sebaiknya dan membuat senarai semak maklumat penting, agar tiada perubahan saat akhir berlaku.
- Jujur menjawab kesemua soalan yang diajukan oleh pemeriksa. Jawab dengan tenang, padat dan jelas berpandukan fakta yang telah anda telaah bertahun-tahun lamanya. Sekiranya anda tidak pasti, minta maaf kepada pemeriksa dan mengaku sahajalah. Kerana didalam bilik Viva kita mudah diserang penyakit ‘pelupa’ kerana gementar. Tiba-tiba segala maklumat yang kita pernah ingat padam begitu saja. Jangan panik, Tarik nafas dalam-dalam dan jawab berdasarkan pemahaman anda ketika itu, yang penting jawab dengan yakin.
- Pastikan anda datang lebih awal dan bersarapan terlebih dahulu pada awal pagi. Ini bagi memastikan otak anda mendapat oksigen yang secukupnya untuk berfikir dengan pantas, dan tubuh badan anda memperolehi tenaga secukupnya untuk pembentangan yang penuh meyakinkan. Jika berkesempatan, bertemu dan bertegur sapalah dengan pemeriksa jika ada masa. Cuba bina rasa selesa dengan mereka dan beramah mesra terlebih dahulu, agar anda tidak berasa kekok semasa masuk ke bilik Viva nanti seperti bertemu kali pertama.
- Jika ibu dan ayah masih ada, mohon mereka doakan kejayaan anda dengan bersungguh-sungguh dan spesifik. Contohnya: “Emak, doakan saya lulus Viva tanpa correction jam 11am ini”. Ingat, restu dan doa ibubapa sangat mustajab dan penentu kejayaan pengajian dan kehidupan anda kelak!
Ingat dan bayangi lima tips mudah ini mulai sekarang, demi kejayaan Viva anda akan datang!
–> Dapatkan lebih banyak Tips dihujung jari anda sahaja dengan lebih pantas » https://t.me/drroket