“Penutup muka melindungi kita,
Mengelak COVID-19 virus merbahaya,
Raya tahun ini berbeza gaya,
Namun maknanya tetap sama”
Pantun diatas berkaitkan dengan keadaan kita sekarang. Dah 2 tahun kita masih beraya dalam pandemik COVID-19 ini, norma masih sama, mask dimuka masih dipakai dan Standard Operating Procedure (SOP) masih kita patuhi. Namun begitu, kita masih boleh sambut Syawal dengan SOP yang telah ditetapkan bersama keluarga, dan bagi yang tak dapat pulang ke kampung boleh menyambut bersama dengan sahabat handai.
Dalam kemeriahan Syawal, marilah kita berkongsi sedikit ilmu berkenaan 10 amalan sunat berkaitan Aildilfitri yang diamalkan Nabi kita Muhammad SAW sebagai sunnah baginda dan para sahabatnya. Semoga sedikit maklumat ini menjadi pendorong kepada kita semua untuk memaknakan Aildilfitri dengan menjadikannya sebuah ibadah yang terdapat keredhaan Allah. Jom ikuti apakah 10 amalan sunnah di hari raya.
- Bertakbir
Bertakbir bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan dalam Islam. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya anak bulan ataupun boleh kita mulakan selepas sahaja maghrib hari terkahir puasa dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah.
Disunatkan juga untuk kita bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah menuju ke masjid untuk menunaikan solat aidilfitri. Takbir sempena 1 Syawal ini juga menandakan yang kita sebagai hamba bersyukur kepada yang Maha Kuasa sebagai mana dalam firman Allah swt;
“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah:185.)
Namun begitu dengan keadaan sekarang ni kita kena mengikut SOP yang ditetapkan iaitu jangan melakukan takbir rumah ke rumah seperti yang kita sedia maklum kebiasaannya masyarakat kita akan melakukan takbir raya dari rumah ke rumah. Jika ada kawasan yang tak dapat ke masjid disebabkan oleh PKP boleh lah takbir di rumah masing-masing bersama keluarga.
- Lafaz ucapan selamat pada Hari Raya Aidilfitri
“Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin”, ucapan ni kita selalu ucap antara satu sama lain ketika Syawal kan. Namun tahu tidak, sebenarnya ada lagi ucapan yang lebih afdhal diucap yang mana diamal oleh Rasulullah dan para sahabatnya.
Diceritakan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.a yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:” Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari Raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain “taqabbalullahu minna waminka” (semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu [waminka di atas boleh ditukar kepada waminkum untuk diucapkan kepada orang ramai]).” –Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271.
- Meneruskan Qiamullail
Jika sepanjang Ramadhan kita bersungguh mengerjakan amal ibadah seperti solat sunat Terawih, adalah lebih baik kita teruskan amal ibadah itu dengan meneruskan Qiamullail. Qiamullail adalah merujuk kepada amalan beribadat pada malam hari dengan mengerjakan solat-solat sunat seperti solat Sunat Taubat, Tahajjud, Witir dan lain-lain, serta amalan-amalan seperti membaca Al-Quran , berzikir , beristighfar, berdoa dan sebagainya
Banyak kelebihan Qiamullail yang akan perolehi seperti dalam firman Allah S.W.T:
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “Sembahyang Tahajjud” padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Surah al-Isra’: 79)
- Mandi sunat pagi hari raya
Sebelum kita mula berangkat ke masjid untuk menunaikan Solat Sunat di Hari Raya Hari adalah disunatkan untuk kita mandi di pagi hari raya. Mandi sunat hari raya itu adalah sebagaimana mandi wajib. Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata: “Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya: mandi sunat sebelum keluar solat hari raya”.
Mandi solat sunat pagi raya adalah dilaksanakan dengan menyebut niat berikut;
- Makan sebelum solat Aidilfitri
Adalah disunatkan kaum Muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Kebiasaannya Rasullullah SAW akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Ia berdasarkan hadis dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut; “Rasulullah S.A.W tidak keluar pada aidilfitri sehinggalah Baginda memakan beberapa tamar, baginda memakannya dengan bilangan ganjil.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 953) Namun, tidak bermakna umat islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja.
- Memakai pakaian yang indah
Disunatkan kamu muslimin memilih pakaian yang terbaik serta indah-indah mengikut kemampuan masing-masing untuk menuju tempat solat. Disunatkan juga kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunatkan kepada kaum wanita sebagaimana sabda Rasululllah SA.W: “Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” (Hadis riwayat al-Nasaai, 5036).
- Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya
Antara sunnah di aidilfitri juga adalah digalakkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a: “Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” (Hadis riwayat al-Tirmizi 487.)
- Mengerjakan solat aidilfitri
Mengerjakan solat aidilfitri adalah amalan sunat yang paling utama dan pelaksanaan solat Aidilfitri adalah sebanyak 2 rakaat. Seperti mana Ibn Abbas r.a berkata: “Rasulullah SAW telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari 989).
Selain daripada itu seusai solat aidilfitri adalah digalakkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu.
Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata: “Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” (Hadis riwayat Abu Daud 975.)
- Bergembira pada Hari Raya Aidilfitri
Setelah sebulan umat Islam memberi fokus untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Kegembiraan sambutan hari raya aidilfitri dapat dilihat dengan kita seluruh ahli keluarga berkumpul dan ziarah-menziarah sesama umat islam bagi mengeratkan lagi tali silaturrahim antara kita. Jika dengan situasi kita sekarang ini, kita bergembira seisi keluarga sahaja kerana dengan SOP terbaru yang dikeluarkan menyatakan menziarah adalah dilarang.
- Mengerjakan Puasa sunat 6 hari pada bulan syawal
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim 1164.) Hadis ini menunjukkan tentang keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal.
Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.a. Namun seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan syawal samada secara berturut-turut atau berpisah-pisah.
Dah tick tak semua amalan sunat Aidil Fitri diatas, jadi jom mula tahun kita ubah cara sambut Hari Raya PKP 3.0 agar kita menjadi lebih mengikuti sunnah Rasulullah SAW!