8 Jun 2023: Syukur alhamdulillah, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Malaysia telah diumumkan pada 8 Jun 2023, jam 10 pagi bagi pelajar-pelajar yang telah menduduki peperiksaan tahun lepas (2022).
”Tahniah dan syabas kepada lepasan SPM tahun 2022 yang kini bakal mengharungi cabaran dunia luar yang semestinya berbeza daripada alam persekolahan.
Sudah pastinya mereka membawa haluan diri ke arah pilihan masing-masing, baik meneruskan pengajian ke peringkat tinggi, bekerja di industri atau menceburi ekonomi GIG.
Pelajar lepasan SPM yang menyambung pengajian STPM, Asasi, Matrikulasi, Diploma dan lain-lain semestinya mendapat galakan ibu bapa bahkan KPM sendiri kerana peluang untuk menyambung pengajian amat terbuka luas buat mereka.
Namun seandainya golongan muda lebih memilih untuk terus bekerja atau menjadi ‘content creator’, perkara ini agak membimbangkan.
Ini berdasarkan kenyataan daripada laporan KPM, separuh daripada lepasan SPM 2021 yang enggan melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
Tidak kurang juga, kadar pengangguran graduan yang tinggi (sejak tahun 2019) telah membuatkan pelajar lepasan SPM kini kurang bermotivasi untuk sambung belajar.
Jadi, bagaimana nasib generasi muda lepasan SPM 2022 dan seterusnya?
Adakah pilihan mereka perlu dipersalahkan? Mana pihak berkepentingan yang patut bertanggungjawab?
Peranan Institusi Kekeluargaan
Institusi kekeluargaan sememangnya memainkan peranan penting dan tonggak untuk mencorakkan kehidupan anak-anak terutamanya mereka yang masih berada di bawah tanggungan ibu bapa.
Mungkin kita dapat kupaskan di sini tentang bagaimana ibu bapa dapat memainkan peranan untuk membantu generasi belia membuat pilihan yang baik untuk masa depan mereka.
Ibu bapa yang sedang menyambung atau telah tamat pengajian Master atau PhD pastinya lebih mudah untuk mendorong semangat dan memupuk mentaliti anak-anak untuk mengutamakan pendidikan sejak usia muda.
Tidak dinafikan juga ibu bapa yang tidak menyambung pengajian ke peringkat tinggi biasanya tetap mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak. Namun, mereka perlu menyokong dan menerima dengan hati terbuka terhadap kecenderungan anak-anak dalam bidang yang diminatinya.
Ada ibu bapa yang menolak pilihan anak-anak yang memilih bidang tertentu apabila ingin melanjutkan pengajian. Ini secara tidak langsung menjadi faktor golongan belia ini memutuskan untuk tidak sambung belajar atau menyambung pengajian secara terpaksa.
Ibu bapa perlu menyedari bahawa golongan belia ini perlu dibimbing dan dibantu untuk mereka membuat keputusan yang betul, namun perlu mengambil kira aspek minat, peluang dan masa depan golongan belia ini.
Kesedaran oleh belia
Kita sedia maklum bahawa generasi muda sekarang memiliki darah muda yang membuak-buak dan mereka suka meneroka pelbagai perkara baru seiring dengan teknologi yang semakin pesat sekarang.
Namun, mereka perlu diingatkan tentang kepentingan ilmu untuk peluang masa depan mereka yang cerah dan bukan setakat SPM kerana perjalanan hidup mereka masih panjang.
”...golongan yang membentuk komposisi terbesar negara kita adalah golongan muda. Jadi, mereka mesti belajar di peringkat pengajian tinggi. Negara ini mesti menjadi negara yang mempunyai ramai bijak pandai dan golongan yang berkemahiran" - YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pendidikan Tinggi).
Pengalaman dan pembelajaran secara formal di universiti itu lebih diperlukan untuk mereka mengharungi cabaran mendatang dengan lebih bijak sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Tidak salah untuk mencari ilmu secara tidak formal namun perlu diperkukuhkan lagi dengan ilmu secara formal.
Selain itu, golongan belia ini perlu difahamkan bahawa tiada gesaan untuk mencari pendapatan sendiri lebih awal. Mungkin sesetengah golongan belia ini rasa bertanggungjawab untuk menyara diri dan keluarga, namun mereka juga perlu menyedari kepentingan ilmu untuk meningkatkan kualiti dan taraf kehidupan mereka dalam jangka masa panjang.
Walau bagaimanapun, peranan ini bukanlah sekadar tertumpu pada institusi keluarga sahaja. Ini kerana pihak berkepentingan seperti KPM dan lain-lain juga sedang berusaha secara optimum untuk membantu golongan muda supaya tertarik dan lebih terbuka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Apa pandangan anda? Kongsikan pandangan/pendapat anda di ruangan komen yang disediakan.
Sumber content: Berita Harian (1), Berita Harian (2)
Sumber foto: Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, google
Inginkan bimbingan yang konsisten dan perkongsian tips yang luar biasa untuk tesis anda? Join proses Dr Roket sekarang dan rasai perbezaannya sendiri: