fbpx Skip to main content
search
0

Aset paling berharga sesebuah ketamadunan negara sudah semestinya adalah bangsanya, yang meninggalkan jejak-jejak tauladan penuh hikmah yang boleh kita telusuri hingga kini. Bangsa yang hebat umpama lembaran sejarah berharga, kerana keteladanan mereka adalah rujukan besar buat generasi yang mendatang seperti kita.

Permulaan bangsa bertamadun bermula daripada diri setiap insan yang hidup ketika itu, seterusnya memainkan peranan tersendiri yang sedikit sebanyak menyumbang kepada ketamadunan bangsa.

“Allah SWT tidak akan mengubah sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah nasibnya”, (Ar- Ra’d: 11)

Ketamadunan yang agung bermula daripada diri setiap insan dan umatnya yang hebat, dek kerana kesedaran diri yang bermula daripada tarbiah awal yang mereka terima.

Untuk mengekalkan tarbiah hebat ini pastinya menuntut dedikasi, disiplin dan pengorbanan yang tinggi disamping semangat kerjasama antara satu sama lain bagi membentuk budaya bangsa yang agung.

Menjadi lumrah didalam pembentukan modal insan yang cemerlang dan berwawasan, bermula daripada didikan yang sempurna mereka terima, itulah tarbiah insaniah.

Tarbiah insaniah terbaik yang menjadi asas dan tunjang bangsa bertamadun sehingga kini adalah bersama Rasulullah SAW. Sepertimana Allah Ta’ala telah berfirman didalam surah Al-Ahzab ayat 21:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”

Ayat Al-Quran ini jelas menyatakan bahawa Rasulullah SAW adalah teladan dan model yang terbaik untuk kita contohi sehingga akhir zaman. Akhlak dan keperibadian agung baginda SAW menjamin pembentukan insan yang mulia daripada segenap aspek kehidupan.

Tarbiah insan yang sempurna melalui keteladanan Nabi SAW, telah membimbing umatnya  menjalani kehidupan dunia ini mengikuti Sunnatullah sepertimana yang ditunjukkan baginda SAW melalui perkataan, perbuatan dan ikrarnya didalam setiap Sunnahnya.

Kesempurnaan akhlak baginda SAW inilah menyebabkan Allah Ta’ala memandang baginda SAW dan mengangkat darjat menjadi kekasih-Nya. Keteladanan agung baginda SAW bertujuan membimbing umatnya tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan menuju hidayah-Nya.

Al-Quran, kalam Allah bermukjizat yang diturunkan kepada Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril dalam Bahasa Arab dan membacanya adalah ibadah.

Kemajuan sesebuah bangsa yang bermula daripada kecemerlangan tarbiah insaniyah melalui keteladanan baginda SAW, juga berpaksikan sumber yang kukuh iaitu Al-Quran.

Bangsa yang beramal dan bertindak berpandukan Al-Quran, pastinya sistem kehidupan lebih terpelihara didalam keharmonian dan kerukunan tetangga yang tinggi bagi membina budaya bangsa yang gemilang.

Kemukjizatan Al- Quran yang menjadi asbab besar Hidayah buat kemajuan bangsa dan merupakan kitab pedoman semenjak diturunkan Nabi SAW 1400 tahun yang lalu.

Corak kehidupan islamik yang dicorakkan didalam sesebuah bangsa melalui penghayatan Al-Quran pastinya menjadi tinggalan ketamadunan didalam segenap aspek kehidupan seperti budaya hidup, pentadbiran dan corak pemikiran.

Sepertimana nabi SAW membina sistem pentadbiran bangsa Arab berpusatkan Masjid yang dibina, yang bukan sahaja menjadi pusat ibadah, malah menjadi pusat pendidikan dan kemasyarakatan.

Tarbiah diri dan bangsa sehingga membina ketamadunan agung adalah berkat keinginan luar biasa umat ketika itu bagi menggapai kemajuan duniawi dan akhirat.

Mereka mengikuti proses yang termaktub didalam Al- Quran yang terbukti menjamin kemaslahatan umat manusia ketika itu, bersama kebergantungan yang kukuh kepada Allah Ta’ala.

Sungguh ini adalah proses yang memerlukan tindakan-tindakan betul yang boleh kita amati melalui Sunnah Nabi SAW melalui sejarah kenabian baginda SAW.

Sultan Al-Fateh yang berjaya membebaskan kota Konstatinopal semasa zaman pemerintahan Turki Uthmaniyah, menjadi khalifah agung kerana pada usia 22 tahun menaiki tahta kepimpinan empayar Uthmani.

Baginda berjaya memecahkan tembok Konstatinopal pada 29 Mei 1453 Masihi bersama 25000 tentera di bawah bimbinganya. Tarbiah hebat bermula daripada diri baginda yang tidak pernah meninggalkan Qiyamullail, menguasai enam bahasa dan menghafaz Quran pada usia 8 tahun.

Beliau digelar sebaik- baik pemimpin dan bangsanya menjadi sebaik-baik tentera, malah nama baginda tercatat didalam hadis Nabi SAW  .

Subhanallah, ketamadunan dan kemerdekaan tanah air sebenarnya bermula daripada tarbiah diri dan bangsanya, yang bukan lagi menjadi rahsia sekiranya kita mengkaji sejarah peradaban manusia dan nabi SAW.

Sempena bulan kemerdekaan tanah air Malaysia yang ke-63 ini, ayuh kita mengekalkan nikmat kemerdekaan ini dengan istiqamah mentarbiah diri dan menyayangi bangsa kita dengan mengekalkan nilai kebersamaan dan nilai-nilai murni didalam tiap tindakan kita

Subscribe
Notify of
guest

1 Comment
Inline Feedbacks
View all comments
1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x