Pernahkah anda menghadapi suatu situasi yang menyerabutkan keseluruhan rutin pada hari tersebut? Pasti pernah bukan. Pepatah Inggeris menggelarnya sebagai ‘bad luck’ yang bermaksud nasib yang buruk. Sebagai umat Islam kita wajib beriman itu adalah Qadar atau ketentuan Allah Ta’ala.
Kita harus bermuhasabah diri semula, keberangkalian hari yang ‘menyerabutkan’ itu berpunca daripada diri kita sendiri. Kita mungkin salah membuat pertimbangan akal sehinggakan tersilap membuat keputusan. Usah meratapi nasib andai kata anda tersalah membuat keputusan. Ini perkara penting yang bijak yang perlu anda buat agar anda mampu menghadapinya sebaiknya:
- Merendah hati
Kita manusia biasa yang tidak lari daripada membuat kesilapan dan kadang-kadang bergerak mengikut perasaan dan emosi. Berdoalah kepada-Nya agar kita termasuk mereka yang merendah hati di hadapan-Nya seperti Nabi Ismail ‘Alaihi Salam. Beristighfar dan mohonlah keampunan daripada-Nya atas kesilapan kita serta mintalah hidayah-Nya agar kita sentiasa berada di landasan yang betul. Ingatlah, Syaitan sentiasa membisikkan keraguan didalam hati manusia yang lemah. Lawanlah bisikan Syaitan dengan merendah hati kepada-Nya.
- Sentiasa Bersedia Dengan Perkara Tidak Terduga
Sediakan payung sebelum hujan. Pepatah Melayu ini tepat ketika anda menghadapi situasi ‘serba tidak kena’ ini. Hidup ini ibarat roda, adakala kita berada di atas dan adakala kita berada di bawah. Atas sebab ini kita perlu sentiasa membuat persediaan daripada segala segi, sama ada mental, emosi, fizikal dan rohani. Masa hadapan manusia adalah antara perkara ghaib Allah Ta’ala, seperti firman-Nya didalam surah An-Najm ayat 35 mafhumnya: “Adakah dia mempunyai pengetahuan mengenai perkara yang ghaib sehingga dia dapat mengetahui?” Manusia tidak mampu menjamin masa hadapan sendiri, namun mereka mampu membuat persediaan.
- Betulkan corak pemikiran
Tidak perlu berasa down untuk jangka masa panjang. Kumpul semula kekuatan anda bermula dengan mindset yang betul. Anda wajib percaya dengan rukun iman keenam, iaitu beriman dengan Qadha’ dan Qadar Allah Ta’ala seperti firman-Nya didalam surah Al-Qamar ayat 49 mafhumnya: “Sesungguhnya kami menciptakan sesuatu dengan takdir”. Buangkan pemikiran negatif yang mengganggu ketenteraman hati, besarkan jiwa dan berfikir positif untuk terus komited hingga selesai. Sentiasa berfikir bahawa tiap urusan seorang mukmin adalah baik baginya.
- Kawal perasaan panik
Lumrah manusia akan berasa panik sekiranya menghadapi sebarang situasi kecemasan. Namun begitu, berusahalah untuk mengawal panik sebaiknya untuk mengelakkan kita melakukan tindakan yang salah dan luar kawalan. Tarik nafas sedalam-dalamnya dan hembuslah perlahan-lahan, ulangi beberapa kali hingga diri kita beransur-ansur tenang dan mampu berfikiran rasional. Basahkan lidah dengan berzikir dan sejukkan hati dengan mengingati Allah, seperti firman-Nya mafhumnya: “Bukankah dengan mengingati Allah hati akan tenang?” Usahlah bersikap panik kerana ianya akan membunuh solusi terbaik buat anda.
- Ikuti proses yang betul untuk meraih hasil
Usah toleh ke belakang dan mengenang kesilapan yang telah berlalu. Kita tidak mampu mengundurkan masa dan merubah apa yang telah berlaku. Akan tetapi pandanglah kehadapan dan kembali mengikuti proses yang betul berdasarkan ilmu dan mentor yang tepat. Tiap usaha perlukan langkah demi langkah dan proses yang panjang, serta pengorbanan yang besar umpama seseorang berjihad di jalan Allah. Hindari jalan pintas dan mudah untuk menggapai kejayaan, kerana hasilnya tidak akan kekal lama dan mengancam kreadibiliti diri. Sebaliknya recas diri anda dengan menyertai seminar motivasi agar anda lebih bersedia pada masa hadapan.
- Hadapi akibat sekiranya salah pilihan
Terdapat madah pujangga yang berbunyi : Kebahagiaan seseorang bukan kerana banyak perkara indah terjadi kepadanya, tetapi kebahagiaan bergantung kepada bagaimana reaksi dan tindakan seseoramg terhadap perkara yang berlaku, sama ada suka mahupun duka. Berlapang dada menerima kekurangan diri dan hadapi dengan redha. Inilah darjat yang tertinggi buat seorang Muslim, iaitu mereka mampu ikhlaskan hati menerima akibat dengan redha dan bersyukur kerana ujian ini meningkatkan hubungan ‘Ubudiyyah bersama sang Pencipta. Insan yang berjaya tidak lari daripada masalah, namun mereka cekal berhadapan menghadapinya.
Inilah enam perkara betul yang perlu anda lakukan sekiranya tersilap buat keputusan. Ketahuilah ianya bukan pengakhiran, namun suatu permulaan buat anda menjadi insan yang lebih baik sekiranya anda mengamalkan enam perkara ini. Agar anda tidak lagi tersalah membuat keputusan, ayuh sertai seminar Online Training Percuma bersama kami disini .
Dapatkan lebih banyak penulisan online menarik dan kreatif, buat motivasi dan inspirasi anda dengan melayari dan ikuti #penacikbungaliana !