Sebagai rakyat Malaysia yang peka dengan wawasan pendidikan negara saban tahun, pasti sudah sebati dengan slogan Bangsa Membaca Bangsa Berjaya. Ya, kempen membaca ini dahulunya dijadikan sebagai agenda tahunan, dengan harapan mendidik masyarakat Malaysia yang berilmu pengetahuan tinggi, melalui pembudayaan amalan membaca.
Ilmu Membangun Tamadun.
Bagi merelisasikan agenda Bangsa Membaca Bangsa Berjaya ini, tidaklah sukar. Jika dahulu tatkala slogan ini diperkenalkan kepada rakyat Malaysia sekitar 20 tahun yang lalu, anak-anak muda, pelajar dan golongan ilmuwan mungkin agak sukar mendapatkan bahan bacaan. Melainkan mereka datang sendiri ke perpustakaan, di sini baru mereka berpeluang membaca.
Kini, kita berada didalam zaman digital atau kecanggihan teknologi maklumat yang mana para penuntut ilmu tidak perlu ke sekolah atau Universiti semata-mata untuk menuntut ilmu. Hanya melalui internet dan secara virtual, kita mampu memperolehi sumber rujukan ilmiah dengan sentuhan jari sahaja. Mudah bukan? Maka tidak hairan Bill Gates mampu membaca 50 buku setahun!
Lebih- lebih lagi anda yang bergelar pelajar tidak kira peringkat sekolah, Sarjana Muda, apatah lagi sebagai pelajar Master mahupun PhD. Amalan membaca ini sepatutnya sudah sebati didalam diri anda bagi merungkai permasalahan disebalik tajuk kajian dan tugasan anda.
Menuntut ilmu memerlukan masa dan juga proses yang panjang, yang kadang kala memenatkan kerana perlu ke sana dan ke sini untuk mengumpulkan bahan kajian. Tidak perlu risau, solusinya terletak pada aktiviti membaca!
Semakin Jauh Perjalanan, Semakin Luas Pengalaman.
Semakin Panjang Pembacaan, Semakin Luas Pengetahuan. Ini sebab kami begitu menitik beratkan amalan membaca yang begitu penting kepada bangsa pascasiswazah seperti anda. Dalam tempoh fasa PKPB, jika ruang dan peluang ini tidak digunakan sebaiknya, sedar tidak sedar, masa anda akan berlalu begitu sahaja. Lebih malang lagi, jika ia hanya dihabiskan dengan rutin harian yang sama setiap hari, atau dengan anak-anak dan kelarga dan melayari media sosial tanpa peningkatan jumlah muka surat dan penghasilan tesis. Pengalaman tempoh PKP lepas telah menunjukkan jumlah bangsa pascasiswazah tidak dapat menulis tesis dengan alasan PKP semakin meningkat.
Ini lima perkara utama bagaimana anda boleh membudayakan aktiviti membaca, manfaatkan ruang dan peluang terutama didalam tempoh PKPB ini untuk diri sendiri atau bersama ahli keluarga:
- Belajar gaya bahasa yang digunakan
Membaca ini ibarat kita berkomunikasi secara dua hala antara dua individu yang berbeza latar belakangnya, iaitu penulis dan pembaca. Melalui pembacaan kita berpeluang belajar gaya bahasa yang digunakan oleh penulis yang dipengaruhi oleh latar belakang pendidikan, budaya, tempat dan pelbagai faktor lain, yang boleh kita pelajari secara tidak langsung. Jika anda seorang wartawan, gaya bahasa anda pasti berbeza dengan penyair mahupun novelis. Jadi dengan membaca anda dapat mengenali gaya bahasa yang pelbagai dengan lebih dekat. Selain gaya bahasa penulisan tesis, perkasakan juga gaya bahasa penulisan yang lain dan hasil penulisan dikongsi dengan rakan-rakan.
- Belajar tatabahasa baru
Indah rupa, terletak pada budinya. Indah bahasa, terletak pada tatabahasanya. Bahasa itu jiwa bangsa, jadi kita perlu gunakannya berdasarkan kaedah dan tertibnya iaitu dengan mempraktikkan tatabahasa yang tepat dan betul mengikut konteks penggunaannya. Anda hanya dapat mempelajari tatabahasa yang baru bermula dengan pembacaan yang meluas, barulah anda berupaya mempraktikannya secara berkesan didalam penulisan, terutamanya penuntut ilmu seperti anda yang perlu mahir menulis dengan baik untuk kejayaan pengajian anda!
- Belajar perkataan baru
Pribahasa Melayu mengatakan; Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya? Jika tidak banyak membaca, bagaimana hendak menambah perkataan baru bukan? Semakin tinggi tahap pengajian anda, semakin banyak patah perkataan yang perlu anda kuasai kerana anda telah pun menelaah beratus- ratus bahan bacaan pengajian! Ramai yang beranggapan, tidak perlu membaca pun mereka mampu menambah kosa kata harian melalui kaedah pendengaran. Jangan lupa, menurut kajian di Universiti Malaya pada tahun 2005, kaedah Pengajaran & Pembelajaran memiliki tahap keberkesanan paling tinggi melalui pancaindera penglihatan, iaitu 75 peratus penerimaan berbanding hanya 13 peratus apabila mendengar!
- Belajar menyusun pendahuluan, isi, penutup secara tertib
Hasil pendedahan didalam dunia maya, pengalaman dan pengajaran hidup yang kita kumpul sepanjang usia, kita semestinya mengetahui pelbagai info dan isu yang bermain-main didalam minda. Usah biarkan anda sahaja yang mendapat manfaatnya seorang diri! Kongsikan kepakaran anda mahupun pengalaman bermakna hidup anda bersama masyarakat sekeliling melalui medium yang paling berkesan dan kekal, iaitu penulisan. Namun untuk memastikan perkongsian anda difahami dan dihayati oleh pembaca, anda perlu bijak menyusun pendahuluan, isi penting dan penutup secara tertib, latih kemahiran ini dengan amalan membaca! Manfaatkan masa ini untuk berkongsi di blog, akhbar dan media sosial yang lain!
- Belajar intonasi yang betul ketika menulis
Menurut Smith dan Johnson pada tahun 1980, membaca adalah satu proses komunikasi antara penulis dan pembaca, yang mana pembaca perlu memahami perkara yang dimaksudkan oleh penulis. Justeru, menulis juga memerlukan intonasi yang tepat mengikut target pembaca anda berdasarkan status, umur dan latar belakang. Awas, intonasi yang kurang tepat akan menjejaskan maksud penulisan anda yang akhirnya berpotensi menimbulkan salah faham dalam kalangan penerima! Oleh itu, belajarlah intonasi yang betul ketika menulis dengan memperluaskan genre bacaan harian anda!
Sebagai kesimpulannya, bangsa pascasiswazah samada yang belajar secara full-time atau part-time perlu manfaatkan tempoh fasa PKPB dengan memperbanyakkan pembacaan, dan berkongsi dengan orang sekeliling. Jangan jadikan alasan PKPB untuk tesis dan diri anda tidak produktif. Pastikan tesis anda tetap bergerak disamping dapat berkongsi dengan orang sekekliling!
–>Dapatkan lebih banyak penulisan online menarik dan kreatif, buat motivasi dan inspirasi anda dengan melayari dan ikuti #penacikbungaliana !